Laporan/foto : Anuar Che Amat (Kangar)
KANGAR, 28 Sept (Malaysiaaktif) – Seramai 90 pelajar Kelab Malaysiaku dari 10 buah sekolah di Parlimen Kangar dan Padang Besar telah menyertai Program Kembara Minda di Muzium Kota Kayang yang berlangsung baru-baru ini.
Program anjuran bersama Jabatan Penerangan Negeri Perlis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Zon Utara dan Muzium Kota Kayang bertujuan untuk mendedahkan para pelajar tentang penggunaan media sosial dengan cara yang berhemah.
Penolong Pengarah Suruhajaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Wilayah Utara, Norazlina Nordin mengingatkan para pelajar agar berhati-hati ketika menggunakan media sosial pada zaman ini kerana ia bukan lagi satu platfom yang selamat untuk menceritakan segala aktiviti atau masalah diri masing-masing.
“Saya nasihatkan para pelajar agar menggunakan panduan SMART sebelum melayari internet supaya tidak terjerumus di dalam aktiviti yang tidak bermoral ataupun terperangkap dengan taktik kotor penjenayah serta pembuli siber yang selalu mengambil kesempatan di atas ledakan teknologi maklumat masa kini,” ujarnya.
Kaedah SMART meliputi lima perkara terdiri dari SAFE iaitu perlu berhati-hati dan jangan berkongsi maklumat peribadi dengan orang yang tidak dikenali, METTING merujuk kepada pertemuaan dengan orang yang hanya dikenali di laman media sosial dan jika ingin berjumpa bawa bersama ibu, bapa atau penjaga.
ACCEPTING pula ialah tidak klik pada pautan atau muat turun fail yang diterima daripada individu yang tidak kita kenali, RELIABLE, para pelajar harus melihat dan menyelidik individu tersebut sama ada palsu atau tidak manakala TELL untuk para pelajar melaporkan kepada ibu bapa atau pihak berkuasa jika ada perkara yang dimuat naik di media sosial membuatkan mereka tidak selesa atau merasa tidak selamat.
“Setiap kandungan ataupun pautan di internet perlu diteliti terdahulu sebelum dilayari agar tidak membawa impak negatif berikutan ia sebagai penyumbang kepada gejala tidak bermoral.
“Para remaja perempuan yang ingin menambah kenalan di media sosial diingatkan supaya menyelidik terlebih dahulu latar belakang individu tersebut agar tidak menjadi mangsa pihak-pihak yang hendak mengambil kesempatan,” katanya.
Tambah beliau lagi, remaja juga perlu mengawal diri dari kerap memuat naik status atau lokasi di media sosial kerana itu akan menjadi “modal” untuk para penjenayah mendekati mangsa mereka.
Mohd Shafik Mukhriz Muzafar,15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Fauziah berpendapat segala perkongsian maklumat yang diperolehi sepanjanh program ini sangat memberi manafaat kepada pelajar seperti beliau.
“Selama ini saya melayari media sosial dan terus menerima setiap individu yang ingin menjadi rakan tanpa mengambil tahu latar belakang mereka namun sekarang saya akan lebih berhati-hati,” ujarnya.
Di program itu juga turut diadakan aktiviti secara berkumpulan yang dikelolakan oleh pihak Muzium Kota Kayang di mana para pelajar dipecahkan kepada beberapa kumpulan dan perlu menyelesaikan tugasan yang diberikan seperti menumbuk padi, menjala ikan, mencari barang tersembunyi dan membaca tulisan jawi.
Aktiviti ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai permainan dan cara hidup orang yang terdahulu seperti menjala ikan, melastik burung dan lain-lain lain lagi.
Cong Han Zen,14, menjelaskan bahawa beliau merasa teruja kerana pertama kali menjejakkan kaki ke muzium ini dan berpeluang melakukan aktiviti menumbuk padi.
“Sebelum ini saya cuma melihat beras di kedai dan pada hari ini saya dapat merasai sendiri aktiviti orang-orang kampung terdahulu seperti aktiviti menumbuk padi menjadi beras walaupun pada mulanya saya berasa kekok namun akhirnya saya berjaya juga menyiapkannya,” katanya.
-NI-