
Laporan/ foto: Uraidah Zetti Md Arifin (Kemaman)
KEMAMAN, 12 Sep (Malaysiaaktif) – Bahan Penerbitan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) menjadi sumber rujukan kepada para pelajar dalam Program Santai Minda bersama Pustaka Kijal dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kijal yang telah diadakan di Kijal, Kemaman.
Program Santai Minda ini diadakan bagi memupuk dan memberi kesedaran kepada para pelajar di peringkat usia di bawah 12 tahun tentang kemerdekaan dan kenegaraan melalui aktiviti yang dianjurkan. Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan untuk pelajar yang berumur 7 hingga 12 tahun seperti pertandingan mewarna, jom membaca 10 minit, pertandingan Ekplorasi Jalur Gemilang, kuiz spontan dan pertandingan lakar potret Perdana Menteri.
Menurut Azizi Othman, 37, kakitangan pustaka, program yang diadakan ini adalah bersempena dengan sambutan bulan kebangsaan untuk menyemarakkan lagi semangat rasa cinta akan tanah air dalam kalangan pelajar khususnya.
‘Saya puji penglibatan yang baik dari kalangan guru dan pelajar dalam program ini dan saya berharap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang. Saya juga ingin berterima kasih kepada Jabatan Penerangan kerana bahan penerbitan Jabatan Penerangan banyak membantu dan menjadi sumber rujukan pelajar dan masyarakat untuk mendapatkan maklumat yang dipercayai,’ katanya.
Bagi pelajar, Anisa Mohd Raduan, dia berasa sangat teruja kerana dapat menyertai pertandingan Ekplorasi Jalur Gemilang. Saya boleh berbincang dengan rakan-rakan tentang soalan yang disediakan dan boleh merujuk buku-buku penerbitan Pejabat Penerangan di samping itu dapat menambah ilmu pengetahuan tentang sejarah Malaysia.
Seorang guru, Nurul Nadiah Kamal, 29 berpendapat pendedahan awal mengenai kenegaraan amatlah bersesuaian ibarat ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ dalam mencorak generasi muda untuk cintakan tanah air dan maklumat daripada bahan penerbitan bercetak tidak mempunyai sumber yang meragukan.
“Penglibatan pelajar sekolah rendah amatlah bertepatan dalam menyuburkan lagi semangat patriotik dan cintakan negara memandangkan generasi muda harus didedahkan dengan elemen kemerdekaan, kesetiaan dan ketaatan supaya mereka mampu membentuk sahsiah yang positif pada masa akan datang dalam meneraju negara bangsa.
“Bahan penerbitan bercetak JaPen masih relevan dan penting walaupun kita berada di zaman teknologi yang canggih dan tak semua maklumat yang kita peroleh dengan carian enjin Google itu betul dan boleh dipercayai” katanya mengakhiri perbualan.
-II-