
Laporan/ foto: Maherah Marina Mahusin (Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 12 Sep (Malaysiaaktif) – Terengganu sememangnya terkenal dengan kekayaan khazanah warisan keilmuan dan kesenian. Warisan-warisan tersebut memperlihatkan kehalusan, kejituan dan ketinggian akal budi orang-orang melayu khususnya para cendekiawan di negeri ini.
Dalam memupuk kesedaran kepada masyarakat tentang betapa pentingnya pemeliharaan dan pemuliharaan warisan ini agar tidak lapuk ditelan zaman, Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) dengan kerjasama Kolej Al Quran Terengganu (KQT) dan Muzium Negeri Terengganu telah menganjurkan Pameran Iluminasi Dan Warkah Emas Diraja Terengganu di Kompleks Muzium Negeri Terengganu, Bukit Losong, Kuala Terengganu.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan program tersebut dan berangkat melawat ruang pameran yang turut menyediakan pelbagai warkah Diraja Terengganu yang dibahagikan kepada 10 kategori antaranya Surat Sultan kepada Raja, Ulama’ dan rakyat.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Diraja Sultan Mizan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pameran Iluminasi Dan Warkah Emas Diraja Terengganu, Datuk Mohd Fadzli Yusof berkata, iluminasi adalah penjelasan kepada seni ragam hias kepada manuskrip yang menekankan keindahan serta kehalusan dalam sesuatu penghasilan sama ada Al-Quran mahupun surat Diraja Terengganu.
“Pameran seumpama ini adalah julung-julung kali diadakan bukan sahaja di Negeri Terengganu malah di seluruh Malaysia. Pameran ini dapat memberikan pendedahan dan pendidikan kepada masyarakat mengenai keunikan ragam hias atau iluminasi dan warkah Emas Diraja Terengganu kerana warkah dan manuskrip al-Quran Terengganu merupakan antara yang tercantik di dunia.”
“Langkah membina semula dalam bentuk replika warkah Emas al-Wathiqu Billah al-Sultan Ahmad dan Manuskrip Al-Quran Terengganu adalah usaha menyemarakan semula seni ragam hias dan memberi nafas baharu hasil seni tangan anak-anak jati Terengganu” katanya.
Pameran ini telah bermula pada 2 September dan akan berakhir pada 30 September untuk tontonan orang ramai bermula jam 10.00 pagi hingga jam 5.00 petang di Muzium Terengganu. Selain pameran, turut diadakan ialah pertandingan menulis khat buat pelajar, pertandingan membaca manuskrip lama, pertandingan mewarna bagi pelajar sekolah serta demonstrasi penulisan warkah emas yang menggunakan dakwat emas.
-II-