Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajaya

Gajah Manja Sambut Pengunjung KECV

By 17 September 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Norlydiana Ishak (Putrajaya)/JPS Terengganu

TASIK KENYIR, 17 Sep (Malaysiaaktif) –Ā  Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir (KECV) yang terletak di Sungai Telemong, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu merupakan antara destinasi pilihan Ekspedisi Sumber Air Negara 2019 yang berlangsung baru-baru ini.

KECV yang mula dibuka kepada orang ramai pada 9 Mei 2014 memiliki keluasan seluas 256 hektar dan hanya 10 peratus dibangunkan dengan mengekalkan ciri-ciri alam semulajadi di mana kawasan selebihnya dikekalkan sebagai hutan simpan.

Pusat konservasi ini diwujudkan bagi mengekalkan habitat gajah, namun pada masa sama memberi penjagaan yang baik dan kebanyakan gajah di KECV rata-ratanya adalah anak gajah ‘yatim piatu’ yang sangat manja, terlatih, selain ‘mendengar’ kata atau arahan daripada jurulatih.

Peserta Ekspedisi Sumber Air Negara bergambar di Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir (KECV).

Peserta Ekspedisi Sumber Air Negara bergambar di Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir (KECV).

Gajah-gajah di sini seolah-olah hidup dalam habitat mereka di hutan rimba dan wujudnya air sungai yang mengalir dari Sungai Temelong mengindahkan lagi perkampungan gajah ini di mana para pengunjung dapat melihat sendiri bagaimana gajah-gajah di sini menjalani kehidupan mereka.

Salah seorang peserta ekspedisi, Mej. (PA) Amirsarifudin Zalman dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Terengganu berkata beliau berasa sangat teruja dapat menjejakkan kaki ke KECV ini yang merupakan platform terbaik dalam memastikan sokongan dan kelangsungan hidup secara tersusun bagi mengatasi kepupusan gajah dalam ekosistem hutan negara.

“Pusat konservasi hidupan gajah merupakan tempat terbaik untuk pelancong terutama kanak-kanak dan pelajar untuk memahami cara hidup, mendekati serta bermain dengan haiwan ini dan ia adalah proses pendedahan awal untuk perkembangan minda.

“Kita sering disogokkan dengan cerita bahawa gajahĀ adalah haiwan liar dan sering menimbulkan konflik dengan manusia, masuk kampung dan memusnahkan kebun walhal sebenarnya gajah adalah haiwan yang sangat sensitif, mudah merajuk dan hanya akan bertindak liar sekiranya habitat dan diri mereka terancam,” katanya.

Untuk melihat gajah dengan lebih dekat para peserta ekspedisi perlu melalui beberapa menara tinjau serta jambatan gantung.

Untuk melihat gajah dengan lebih dekat para peserta ekspedisi perlu melalui beberapa menara tinjau serta jambatan gantung.

Tambah Mej. Amirsarifudin lagi, KECV bukan sahaja tempat untuk mendidik para pengunjung tetapi juga merupakan kawasan pemuliharaan dan pemeliharaan habitat gajah yang memberi peluang kepada manusia untuk bermesra dengan haiwan ini tanpa perasaan takut.

“Semoga lebih ramai pelawat dari dalam dan luar negara datang ke KECV kerana melalui tiket yang dibeli sebagai bayaran masuk ke pusat konservasi ini membolehkan hasilnya disalurkan untuk kegunaan dan pemuliharaan gajah di sini,” tambahnya.

Peserta ekspedisi perlu berjalan selama lebih kurang 15 minit dengan melalui beberapa menara tinjau serta jambatan gantung yang disediakan di sini sebelum dapat melihat gajah dengan lebih dekat.

Menariknya, para penjaga gajah di sini majoritinya merupakan anak-anak tempatan yang berasal dari kampung sekitar KECV dan mereka telah diberi latihan dan kemahiran untuk menjaga gajah-gajah di sini.

Pengunjung bukan sahaja dapat melihat gajah namun anda juga boleh berinteraksi dengan gajah, memberi makan, bergambar serta melihat gajah mandi dengan lebih dekat.

-SH

Tinggalkan komen anda