Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

“Tolong Jangan Panggil Saya Pakcik”

By 17 September 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto : Mohd Zahairi Ahmad Zabidi/Suraya Hani Kamarozaman (Mersing) 

MERSING, 17 Sept (Malaysiaaktif) –  “Tolong jangan panggil saya pakcik” itulah kata-kata seorang peserta warga emas yang berjiwa kental demi menghabiskan larian sejauh 10 kilometer walaupun para sukarelawan Politeknik Mersing Johor (PMJ) pada mulanya berasa gusar dengan kemampuannya.

Wan Johari Wan Husin, 64, yang berasal daripada Kelantan dan kini menetap di Kluang merupakan pesara Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengganggap bahawa faktor usia bukanlah penghalang baginya untuk menyertai program Mersing Beach Run pada kali ini.

“Saya memang suka menyertai aktiviti larian sebegini untuk menghilangkan rasa bosan sejak saya tidak lagi berkhidmat sebagai penjawat awam.

Wan Johari (kanan) bersama rakannya berjaya menghabiskan larian sejauh 10 kilometer.

Wan Johari (kanan) bersama rakannya berjaya menghabiskan larian sejauh 10 kilometer.

“Saya akan sentiasa menyertai acara larian seperti ini samada di negeri Johor mahupun luar kerana saya percaya dengan menyertai aktiviti ini akan meningkatkan lagi stamina badan agar sentiasa sihat, cergas dan pastinya berasa seperti orang muda,” ujar beliau.

Mersing Beach Run 2019 yang bermula seawal jam 7.00  pagi adalah merupakan salah satu pengisian sempena sambutan Hari Malaysia di daerah ini dan turut diadakan aktiviti Fun Run and Ploging sejauh 5 kilometer.

Program pada hari ini disertai oleh masyarakat dari pelbagai kaum dan peringkat umur yang mempunyai semangat tinggi untuk menghabiskan larian sejauh 10 kilometer bagi melayakkan mereka menerima medal penyertaan.

ADUN Endau Mersing, Alwiyah Talib menyempurnakan pelepasan Larian Hari Malaysia 2019 Mersing Beach Run.

ADUN Endau Mersing, Alwiyah Talib menyempurnakan pelepasan Larian Hari Malaysia 2019 Mersing Beach Run.

Para pelajar PMJ yang terdiri daripada Ahli Keusahawanan Siswa (UKS), Sport & Recreation Club (SRC) dan Polysport PMJ Semester 1 hingga 5 merupakan urusetia yang bertanggungjawab menguruskan program di bawah seliaan Pengarah Program, Nurhafidah Mustaffa Kamal serta dibantu oleh Ketua Unit Keusahawanan dan Pengerusi Program, Azielina Mohd.

Pensyarah Jabatan Perdagangan selaku Pengarah Program Keseluruhan, Ariffudin Husof berasa amat gembira dengan kejayaan penganjuran program  Mersing Beach Run 2019 pada  kali ini.

“Hampir keseluruhan proses persediaan serta pelaksanaan diurus sendiri oleh para mahasiswa PMJ dan dibantu oleh pensyarah  yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada mereka terutama mahasiswa yang mengikuti pengajian Event Management,” katanya lagi.

Barisan para pemenang acara Mersing Beach Run.

Barisan para pemenang acara Mersing Beach Run.

Mersing Beach Run 2019 merupakan program anjuran Politeknik Mersing Johor dengan kerjasama Majlis Daerah Mersing, Pejabat Daerah Mersing, PDRM Daerah Mersing, Agensi Pertahanan Awam Malaysia Mersing dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Mersing.

Majlis pelepasan peserta larian Mersing Beach Run 2019 disempurnakan oleh ADUN Endau Mersing, Alwiyah Talib dan diiringi oleh Penolong Pegawai Daerah Mersing, Mohammad Alif Abdul Fa’tas selaku wakil rasmi Pegawai Daerah Mersing dan Timbalan Pengarah Politeknik Mersing, Muhamad Yusof Sulaiman.

Mersing Beach Run 2019 kali ini berjaya mewarnai sambutan Hari Malaysia 2019 dengan penyertaan lebih 500 orang peserta yang terdiri daripada komuniti dalam dan luar daerah ini.

-NI-

 

Tinggalkan komen anda