
Laporan/foto : Zuriatina Tamat/Saiful Anuar Shuib (Tangkak)
TANGKAK, 14 Sept (Malaysiaaktif) – Sempena Bulan Kebangsaan 2019, Perbadanan Taman Negara Johor buat julung kalinya menganjurkan International Ledang Legendary Run 2019 di Taman Negara Johor Gunung Ledang, di sini, pagi tadi.
Seramai 399 peserta terdiri daripada peserta luar dan dalam negara menyertai larian sejauh 7.5 kilometer sekitar laluan pejalan kaki Gunung Ledang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Negeri Johor, Tan Chen Choon turut menyertai para peserta bagi sesi memanaskan badan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Negeri Johor, Tan Chen Choon berkata program International Ledang Legendary Run ini akan diangkat untuk disenaraikan sebagai acara tahunan negeri Johor.
“Saya berharap program ini dapat disenaraikan dalam kalender pelancongan negeri memandangkan pada tahun hadapan merupakan tahun melawat Malaysia dan juga tahun melawat Johor.”
“Pada tahun 2018 jumlah pelancong ke negeri Johor adalah sebanyak 15.84 juta dan tahun ini kerajaan Johor mensasarkan seramai 16.6 juta pelancong yang akan berkunjung ke negeri ini,” katanya ketika ditemui semasa majlis perasmian program berkenaan, di sini pagi tadi.
Tambah beliau lagi, tidak mustahil dengan adanya produk-produk pelancongan seperti aktiviti pada hari ini, sasaran pelancong ke negeri Johor akan lebih meningkat pada masa hadapan kerana secara tidak langsung ia dapat mempromosikan keindahan alam semula jadi di negeri ini.
Pogram International Ledang Legendary Run 2019 mendapat sambutan yang menggalakkan walaupun indeks pencemaran udara (IPU) di daerah Tangkak melebihi paras 200 pada jam 7.00 pagi tadi.
Pogram ini menyaksikan pemenang tempat pertama dengan catatan masa 26 minit hingga keempat dimonopoli oleh peserta dari luar negara manakala tempat kelima dimenangi oleh peserta tempatan.
-NI-