
Laporan/foto: Robin Junang (Kuching)
KUCHING, 21 Sept (Malaysiaaktif) – Isu jerebu kini kembali melanda Sarawak selepas peristiwa jerebu paling dashyat pernah berlaku pada tahun 1997 dan 2015 di mana bacaan IPU mencecah 600 sehingga menyebabkan sekolah ditutup, penerbangan dibatal, ekonomi terjejas dan masalah air terawat.
Fenomena jerebu yang melanda rantau Asia Tenggara termasuk di negara ini pada tahun 1997 dan 2015 menyebabkan Malaysia mengisytiharkan darurat dan yang terburuk dalam sejarah negara.
Kini fenomena tersebut berulang semula akibat daripada jerebu rentas sempadan kerana kebakaran hutan di kawasan hutan paya di kawasan Kalimantan Barat dan Tengah Indonesia.
Isu jerebu bukan sahaja menjejas kesihatan tetapi juga menjejas persekolahan, penerbangan, pertanian, pengairan, bekalan air terawat, ekonomi dan aktiviti harian penduduk di kawasan yang dilanda jerebu.
Akibat ancaman udara kotor, hari ini sebanyak 1,037 sekolah diarah tutup di Sarawak dengan keseluruhannya membabitkan 325,392 pelajar.
Antara daerah yang terlibat ialah Kuching sebanyak 87 sekolah, Bau 44, Lundu 34, Sri Aman 41, Lubok Antu 30, Selangau 23, Kanowit 38, Julau 37, Meradong 36 dan Samarahan 59.
Manakala daerah Sri Aman dan Lubok Antu turut mengalami masalah air di mana beberapa loji terpaksa dicatu untuk mengelakkan kehabisan air. Loji air yang mengalami tahap amaran ialah loji rawatan air Sebangan, loji rawatan air Telok Melano, loji rawatan air Lundu yang kesemuanya di daerah Sri Aman termasuk catuan dilakukan di loji air Engkelili, Lingga, Stumbin dan Seduku, Bayai dan loji rawatan air Simunjan
Setakat ini Sri Aman merupakan daerah yang paling teruk mengalami pencemaran dengan indeks bacaan melebihi 400 IPU manakala kawasan Kuching, Samarahan, Sibu berada pada tahap tidak sihat.
Pembenihan awan yang dilakukan pada hari ini melalui kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia dengan Jabatan Meteorologi Malaysia sedikit sebanyak telah mengurangkan ketebalan jerebu di daerah Kuching.
Bantuan kapal terbang bombardier milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi memadamkan kebakaran di daerah Sri Aman dua hari yang lepas juga membantu mengurangkan tahap pencemaran namun jerebu datang lagi dengan pencemaran mendadak sehingga melepasi IPU 400.
Manakala Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sarawak turut mengambil inisiatif dengan membuat hebahan lapangan di kawasan yang dilanda pencemaran tahap tidak sihat dan membahaya.
Di samping membuat hebahan, mereka turut mengedar risalah berkenaan dengan pelan tindakan serta tanda dan gejala jerebu di kawasan tumpuan orang ramai, di bandar-bandar dan kampung-kampung.
Tindakan jabatan bukan sahaja melalui hebahan lapangan dan pengedaran risalah malah pada peringkat awal ketika negeri ini diancam jerebu beberapa ‘posting’ telah dibuat melalui Facebook, Instagram dan Twitter bagi memaklumkan orang ramai.
Peranan Jabatan Penerangan adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang bahaya jerebu serta mengambil tindakan bagi mengelak terutama mereka yang mempunyai penyakit, asma, radang paru-paru, sinusitis dan alahan mata.