
Laporan/ foto: Muhammad Fandy Azam (Melaka Tengah)
MELAKA, 21 Sep (Malaysiaaktif) – “ Saya sanggup menempuh segala cabaran dan dugaan, asalkan para pelajar istimewa ini mempunyai masa depan yang cerah setanding dengan pelajar normal lain.”
Itu kata- kata seorang guru Pendidikan Khas (Integrasi) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir, Duzaimi Kamarudin, 44 tahun yang ditemui sempena Program Wacana Kemerdekaan Kelab Malaysiaku SMK Tun Mutahir bagi Majlis Penutup Bulan Kebangsaan Peringkat Sekolah di sini.
“Mengajar anak istimewa ini memerlukan tahap kesabaran yang tinggi, namun saya amat berbangga apabila melihat mereka selesa dan seronok berada di sekolah di samping tidak menganggap mereka mempunyai kekurangan diri masing –masing “, tambah beliau lagi.
Hal ini dipersetujui oleh Pengetua SMK Tun Mutahir, Darma Taksiah yang berkata pihak sekolah sentiasa memastikan para pelajar Pendidikan Khas ini dapat bersama –sama memahami apa yang disampaikan dalam ucapan yang diberikan semasa program berlangsung dengan melantik guru Pendidikan Khas bagi memberikan isyarat tangan kepada para pelajar ini.
“Pihak sekolah sentiasa mengambil pelbagai inisiatif dalam memastikan para pelajar isitmewa ini tidak rasa terpinggir malah menganggap mereka seperti pelajar normal lain yang bersama menjalani kehidupan seperti mereka,” kata beliau.
Majlis ini telah dirasmikan oleh Pegawai Penerangan Daerah Melaka Tengah, Mohd Noor Samion dan telah diserikan dengan persembahan pelajar.
-KN