
Laporan/Foto: Dayang Siti Nurzuhairah Abang Ahmad Zaini (Bachok)
BACHOK, 19 Sept (Malaysiaaktif) – Berteraskan gagasan ‘Kemakmuran Bersama’, Pejabat Penerangan Bachok mengambil pendekatan ‘berani’ dengan menghimpunkan Ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam satu sesi taklimat penjelasan berkaitan inisiatif kerajaan yang memanfaatkan rakyat bertempat di Laman Monsun Universiti Malaysia Kelantan, kampus Bachok pada 15 September 2019.
Seramai lebih 300 orang ahli MPKK Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri seluruh Jajahan Bachok hadir ke Program Taklimat Eksklusif Inisiatif Kerajaan sebagai bukti komitmen mereka untuk memperkasakan peranan masing-masing di peringkat mukim dan kampung tanpa mengira fahaman politik dan kepartian.
Taklimat eksklusif dan kaunter interaktif ini bertujuan memberi penjelasan kepada ahli-ahli MPKK serta pemimpin masyarakat tempatan berkaitan inisiatif-inisiatif kerajaan yang bermanfaat kepada rakyat.
Antara pengisian sepanjang program adalah taklimat khas mengenai insentif kerajaan seperti i-Suri, i-Saraan, Rebat TNB 40, e-Kasih, mySalam, myfreeview peralihan siaran TV Analog kepada Digital, PeKa B40, bayaran cukai pintu, bayaran cukai tanah dan edaran poster KDYMM Seri Paduka Baginda YDPA dan Raja Permaisuri Agong.
Di samping sesi taklimat, agensi terlibat seperti Pejabat Kesihatan Daerah Bachok, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tenaga Nasional Bachok (TNB) dan Great Eastern Takaful Insurance (mySalam) turut mengadakan kaunter interaktif bagi memudahkan ahli MPKK mendapatkan perkhidmatan selanjutnya.
Selain daripada itu, Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan (JPPNK) turut menyampaikan taklimat berkaitan tata cara dan prosedur e-Kasih. Manakala Pejabat Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia Wilayah Timur Kota Bharu menjelaskan berkaitan peralihan siaran TV Analog kepada siaran Digital atau myfreeview.
Ruang ini juga turut diisi dengan taklimat oleh Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Pendidikan Nasional (PTPTN) yang menjelaskan berkaitan skim-skim simpanan bagi persediaan pelajaran.

Ketua Jajahan Bachok, Hazmi Abdul Hamid sewaktu sidang media (tengah) bersama-sama Pengarah Penerangan Negeri Kelantan, Lim Ann Teck (kanan) dan Timbalan Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri kelantan, Dick Khuzariry Mohamad (kiri).
Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok serta Majlis Daerah Bachok turut membuka kaunter interaktif bayaran cukai tanah dan cukai pintu.
Menurut Ketua Jajahan Bachok, Hazmi Abdul Hamid berkata penganjuran ini amat bertepatan kerana berjaya menghimpunkan ahli-ahli MPKK agar mereka dapat memanjangkan maklumat ini kepada masyarakat di peringkat masing-masing.
“Saya lihat penganjuran daripada Jabatan Penerangan selaku platform kepada agensi-agensi terlibat amat bertepatan kerana kita dapat menghimpunkan ahli MPKK Jajahan Bachok yang merupakan pemimpin-pemimpin peringkat akar umbi di peringkat mukim yang bakal memanjangkan lagi maklumat ini kepada masyarakat,” ujar Hazmi semasa menyampaikan ucapan perasmian penutup.
“Pendekatan Jabatan Penerangan ini membuktikan ketelusan agensi komunikasi kerajaan dalam menguruskan mesej-mesej kerajaan kepada rakyat secara terancang dan berorientasikan ‘zero political zone’,” katanya di akhir ucapan.
Umum dimaklumkan bahawa kesinambungan sesi taklimat ini akan diteruskan dengan mengadakan program ‘outreach’ secara bergerak ke fasa seterusnya melalui pendekatan “Information On Wheels” yang mensasarkan audiens secara mikro bersama agensi terlibat ke lokasi-lokasi terpilih di seluruh Daerah Bachok.
-NAZ