Laporan/foto: Farhana Azlin Lajis/Kubendiran Manickam (Langkawi)
LANGKAWI, 14 Sep (Malaysiaaktif) – Langkawi Lagendary Ride 2019 yang julung kali diadakan ini mendapat sambutan luar jangka dengan hampir 1000 penyertaan diterima, bukan sahaja dari Langkawi malah dari seluruh Malaysia dan tidak ketinggalan peserta antarabangsa dari Singapura, Vietnam, Thailand, Jerman, Belanda, Amerika Syarikat dan juga Australia.
Menurut Pengarah Urusan Tough Gorilla Azura Zainol Abidin, penganjuran kali ini adalah yang pertama dan akan diteruskan pada tahun hadapan berikutan sambutan yang diberikan begitu menggalakkan.
“Kami menjangkakan lebih 500 penyertaan sahaja dan amat terkejut apabila penyertaan yang diterima hampir 1000 orang. Ini membuatkan kami lebih bersemangat untuk menganjurkan lagi acara ini pada tahun hadapan dan berharap agar mendapat lebih banyak tajaan daripada pelbagai pihak.
“Acara ini adalah untuk menyemarakkan industri pelancongan dan ingin menggalakkan lebih ramai pelancong datang untuk berbasikal mengelilingi pulau ini dan berharap turut mendapat sokongan penduduk tempatan,” katanya ketika ditemui di Dataran Mar-mar, di sini pagi tadi.
Salah seorang peserta Langkawi Lagendary Ride 2019 Abdul Rahman Osman, 45, berkata acara ini menguji tahap kemampuan dirinya dalam menghabiskan kayuhan sejauh 101 kilometer (km).
“Walaupun tidak menang tapi rasa amat puas hati kerana dapat menghabiskan kayuhan dalam masa tiga jam empat puluh minit tanpa ada sebarang masalah tambahan hujan turun dan perlu melalui jalan berbukit dan berlumut.
“Acara ini perlu diadakan lagi dan menjadikannya sebagai acara tahunan tetapi perlu memilih tarikh yang sesuai berikutan antara bulan Mei sehingga Oktober adalah musim hujan di Langkawi,” katanya.
Seorang lagi peserta kayuhan, Syahrir Abdullah, 30, berkata acara seperti ini dapat mengumpulkan peminat-peminat sukan berbasikal dari seluruh dunia pada satu tempat dan saling bersaing secara sihat.
“Langkawi merupakan tempat pelancongan dan dengan adanya acara seperti ini sektor pelancongan akan lebih berkembang dan akan lebih banyak pelancong akan datang ke sini untuk menikmati keindahan pulau ini dengan lebih dekat,” katanya ketika ditemui selepas menghabiskan kayuhan sejauh 101km.
Turut memeriahkan acara, Tunku Laksamana Kedah Datuk Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin bersama-sama Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menerusi penyertaan dalam kayuhan sejauh 60km.
-SH