
Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Ipoh)
TAPAH, 14 Sep (Malaysiaaktif) – Pertandingan Pidato Kenegaraan Peringkat Negeri Perak 2019 menyaksikan pelajar jurusan perakaunan Universiti Teknologi Mara Cawangan Perak, Kampus Tapah (UiTM Tapah) membawa pulang gelaran juara.
Pemidato Rasydan Mohd Hassan, 21, berkata kemenangan ini merupakan sesuatu yang tidak dijangka namun begitu bersyukur kerana usaha dan pengorbanan masa yang diberikan berbaloi.
“Alhamdulillah, persaingan yang sengit dengan persembahan hebat daripada peserta lain namun mungkin nasib lebih menyebelahi saya,” katanya.

Hasnul (tengah) ketika menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Pidato Kenegaraan Peringkat Negeri Perak 2019.
Membawakan tajuk ‘Rukun Negara Teras Kecemerlangan Bangsa’, Rasydan berkata pemilihan tajuk ini sejajar dengan tema Hari Kebangsaan negara tahun ini iaitu Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih.
“Tajuk ini dipilih kerana saya memikirkan ada sesetengah pihak yang bermain dengan sentimen perpaduan dan keamanan negara.
“Saya harap dengan penyampaian isi-isi pidato ini, secara tidak langsung dapat menyedarkan penonton tentang penerimaan dan kefahaman tentang Rukun Negara terhadap kecemerlangan bangsa,” ujarnya lagi.
Sementara itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan NGO Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, berkata program ini bertujuan untuk mencungkil dan mengasah bakat para peserta dalam arena pidato.
“Platform berpidato membuka ruang untuk masyarakat menguatarakan pendapat dalam sesuatu isu dengan penuh berhemah, kesopanan dan lengkap dengan fakta yang sahih,” ujarnya yang hadir merasmikan program berkenaan hari ini.
Sementara itu, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar SR Dr Mohd Azian Zaidi, mewakili Rektor UITM Cawangan Perak, berkata pertandingan ini dibuka kepada semua warganegara bagi mencapai wawasan 2020 melalui pembudayaan Bahasa Kebangsaan serta penglibatan semua kaum dalam pertandingan ini.
“Selain dapat memupuk, menyuburkan, mengukuhkan dan mengekalkan semangat perpaduan dalam kalangan msyarakat, pertandingan sebegini juga dapat memperkasakan lagi penggunaan Bahasa Kebangsaan serta meningkatkan rasa kecintaan terhadap Bahasa Kebangsaan kita,” katanya.
Johan pertandingan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1500 berserta plak dan sijil.
-SH