Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanMASabah

Program PANTAS Dilaksana di Kampung Kiau Taburi

By 15 September 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Marryan Razan(Kota Kinabalu) 
KOTA BELUD, 15 Sept (Malaysiaaktif) – Penantian penduduk Kampung Kiau Taburi untuk mendapatkan geran tanah akan menjadi kenyataan apabila Program Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) dikampung itu dilaksanakan tidak lama lagi.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata Program pengukuran PANTAS di Kawasan kampung itu merupakan yang pertama di Kota Belud dan akan di perluaskan ke kawasan-kawasan lain selepas ini.

Ewon ketika berucap pada majlis itu.

Ewon ketika berucap pada majlis itu.

“Bagi Kawasan Kampung Kiau Taburi, arahan ukur telah dikeluarkan pada 12 September lalu untuk menyukat seluas 500 ekar tanah di kampung ini melibatkan 254 lot.

“Oleh itu saya berharap penduduk kampung memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pasukan juru ukur yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan penyukatan di sini agar tempoh lapan bulan yang ditetapkan bagi menyiapkan kerja-kerja penyukatan tanah di kawsaan ini dapat dipendekkan kepada enam bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program PANTAS Kampung Kiau Taburi Kota Belud, di Dewan Masyarakat kampung itu, pada Sabtu.

Ewon bersalaman dengan pegawai Jabatan Tanah dan Ukur pada majlis itu.

Ewon bersalaman dengan pegawai Jabatan Tanah dan Ukur pada majlis itu.

Turut hadir Pengarah Tanah dan Ukur Sabah, Datuk Hj.Safar Untong; Timbalan Pengarah Tanah dan Ukur, Bernard Liew; Pegawai Daerah Kota Belud, Hajah Diyanah Abdullah; PPM Kadamaian, Saikom Watis; Ketua Kampung Kg.Kiau, Taburi Liam Sumbin dan ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, pemilihan Kampung Kiau sebagai lokasi pertama pelaksanaan Program PANTAS di kawasan Kota Belud dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian kerana beliau mahu memastikan kejayaan dan kelancaran program itu.

“Jika ada pertikaian tanah di kalangan penduduk kampung, pemimpin akar umbi atau Ketua Kampung di kampung ini harus mencari jalan penyelesaiannya.

Ewon bergambar bersama pegawai-pegawai Jabatan Tanah dan Ukur yang hadir pada majlis itu.

Ewon bergambar bersama pegawai-pegawai Jabatan Tanah dan Ukur yang hadir pada majlis itu.

“Ini penting kerana, kejayaan program PANTAS di Kg.Kiau akan menggambarkan kejayaan keseluruhan program ini di Kota Belud kelak,” katanya.

Menurut Ewon, pengukuran 254 lot pertama tersebut merupakan fasa pertama daripada keseluruhan 1,000 lot tanah yang dijangka akan diukur di bawah Program PANTAS Kiau melibatkan lima buah kampung berhampiran.

“Ini merupakan usaha berterusan saya dalam menyelesaikan isu-isu yang menjadi keprihatinan rakyat Kadamaian, iaitu permohonan tanah selain daripada keperluan pembangunan infrastruktur asas dan pembangunan ekonomi melalui aktiviti keusahawanan desa.

Ewon ketika melancarkan Program PANTAS Kg.Kiau Taburi, turut kelihatan Safar.

Ewon ketika melancarkan Program PANTAS Kg.Kiau Taburi, turut kelihatan Safar.

“Saya gembira kerana dapat membawa Program PANTAS ke daerah Kota Belud bermula di kawasan DUN Kadamaian dan fasa pertama dilaksanakan di Kg Kiau.

“Para pemohon ini telah menunggu berpuluh tahun lamanya. Dengan adanya Program PANTAS, ianya dapat mempercepatkan pengukuran secara berkelompok permohonan-permohonan oleh penduduk tempatan.

“Saya dapat melihat keceriaan di kalangan penduduk di sini kerana satu daripada impian mereka kini dapat kita laksanakan,” katanya.

Ewon juga turut menyokong permohonan penduduk Kg Kiau Nuluh untuk mewartawakan lebih kurang 1,000 ekar yang terkeluar daripada sempadan Taman-Taman Sabah sebagai Tanah Simpanan Anak Negeri (Native Reserve) untuk tujuan hutan tagal komuniti.

Ewon bergambar bersama sebahagian penduduk Kampung Kiau.

Ewon bergambar bersama sebahagian penduduk Kampung Kiau.

“Saya telah diberikan taklimat oleh Taman-Taman Sabah berkenaan sempadan ini dan dimaklumkan mengenai pengeluaran 1,000 ekar tersebut.

“Penduduk Kiau Nuluh melalui kepada Persatuan Memulihara Warisan Tradisi dan Alam Semula Jadi Kampung Kiau Nuluh (GOMPITO) telah memohon supaya kawasan tersebut diwartakan sebagai Native Reserve kerana selama ini pun, mereka mempunyai hak tanah adat atau customary right.

“Justeru dengan kehadiran Pengarah, Penolong Pemungut Hasil Tanah dan pengurusanan kanan Jabatan Tanah dan Ukur di Kg Kiau pada majlis ini, saya menyokong sepenuhnya permohonan ini yang telahpun dikemukakan beberapa tahun lepas dan perbincangan-perbincangan tertentu bersama JTU juga telah dilaksanakan, termasuk yang saya pengerusikan di pejabat saya di KPLB Sabah,” katanya.

Ewon berkata, pewartaan itu bertujuan untuk mengujudkan Hutan Tagal Komuniti bagi tujuan konservasi hutan dan tadahan air oleh komuniti kampung serta aktiviti eko-pelancongan luar bandar berasaskan komuniti.

ER

Tinggalkan komen anda