Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanMASabah

Persatuan keluarga berperanan cegah masalah PATI

By 15 September 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto:Marryan Razan(Kota Kinabalu)

KOTA BELUD, 15 Sept (Malaysiaaktif) – Semua lapisan masyarakat termasuk persatuan keluarga harus memainkan peranan penting untuk mencegah masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata melalui persatuan keluarga boleh memastikan rumah, kedai, ladang dan kilang perusahaan milik ahli-ahli keluarga bebas daripada pendatang asing tanpa izin.

“Masalah pendatang asing tanpa izin merupakan bahan perbualan hangat rakyat Sabah ketika ini.

Ewon bersalaman dengan ahli keluarga Lomok pada majlis itu.

Ewon bersalaman dengan ahli keluarga Lomok pada majlis itu.

“Kerajaan sememangnya bertanggungjawab mencari penyelesaian tetapi sebenarnya kita sendiri juga boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada masalah ini.

“Mari kita pastikan rumah, kedai, ladang dan kilang perusahaan milik ahli keluarga dan kampung kita secara keseluruhannya bebas daripada PATI.

“Kalau ini dapat dilakukan, saya percaya kawasan kita di DUN Kadamaian bebas daripada masalah pendatang asing tanpa izin,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata demikian semasa berucap merasmikan Sambutan Hari Keluarga Besar Lomok di Kg Piasau, Kota Belud pada Sabtu.

“Saya maklum ahli-ahli keluarga ini yang menyatakan kekhuatiran mereka terhadap masalah pendatang asing di Sabah dan bertanya pendapat saya mengenai perkara ini.

“Di peringkat Kerajaan, ini merupakan satu perkara yang perlu diselesaikan dan Jemaah Kabinet Negeri telahpun membuat ketetapan memanggil Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran memberikan taklimat.

Sebahagian ahli keluarga yang hadir pada majlis itu.

Sebahagian ahli keluarga yang hadir pada majlis itu.

“Seterusnya akan berbincang mengenai cadangan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) kepada pendatang asing yang sudah berada di negeri ini melalui pemberian dokumen IMM13, Sijil Bancian dan Burung-Burung yang diberikan oleh Kerajaan yang lepas.

“Saya tidak akan membuat kenyataan mengenai cadangan ini sehingga taklimat dan perbincangan terperinci tersebut dibuat kerana saya sendiri mempunyai banyak persoalan yang ingin diajukan kepada Kementerian Dalam Negeri.

“Tetapi di peringkat kita sebagai komuniti di kampung, saya ingin mengajak semua rakyat di Kadamaian termasuk melalui persatuan-persatuan keluarga menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah ini dengan menjadikan Kadamaian bebas daripada pendatang asing tanpa izin,” katanya.

Ewon turut menyatakan bahawa, Kursus Pengurusan dan Pentadbiran MPKK yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah turut mencakupi peranan MPKK dalam memastikan kedaulatan kampung masing-masing daripada dicerobohi PATI.

Ewon menyeru agar persatuan-persatuan keluarga dapat menubuhkan koperasi dan mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti keusahawanan desa termasuk perusahaan eko pelancongan di kawasan tanah milik ahli-ahli keluarga.

“Saya sangat berbangga kerana keluarga besar Lomok juga sudah menubuhkan koperasi keluarga dan telah memulakan keusahawanan berasaskan pelancongan desa.

Ewon membeli tiket bertuah sebagai sokongan hari keluarga itu.

“Saya mencadangkan supaya pengurusan koperasi keluarga ini menerokai program-program bantuan kepada koperasi yang disalurkan oleh pelbagai kementerian dan agensi Kerajaan berkaitan.

“Saya bersedia menjadi pemudahcara bagi membantu permohonan yang dikemukakan kelak. Mudah-mudahan kejayaan koperasi ini boleh menjadi contoh kepada keluarga lain,” katanya.

Sambutan Hari Keluarga Besar Lomok dihadiri lebih 500 orang.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur Majlis Keluarga Lomok, Saran Sula berkata, sambutan tersebut diadakan setiap tahun dan kali ke-15 diadakan pada tahun ini.

ER

Tinggalkan komen anda