
Laporan /foto: Md Ali Hanafiah Hassan (Jempol)
JEMPOL, 21 Sep (Malaysiaaktif) – Walaupun terletak di luar bandar, namun Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Serting (SMKBBS) mampu mengorak langkah cemerlang dan merupakan sekolah felda yang telah memenangi pelbagai anugerah baik di peringkat negeri mahupun kebangsaan.
Sekolah ini telah tersenarai di tempat pertama kategori Sekolah Felda yang cemerlang dalam pencapaian pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di peringkat negeri manakala tempat kedua di peringkat kebangsaan selama tiga tahun berturut-turut sejak 2016.
Menurut Pengetua SMKBBS, Faridah Sulan, beliau amat berharap pada tahun ini pelajar sekolahnya dapat mengekalkan pencapaian yang telah mereka capai selama tiga tahun tersebut.
“Kami sebagai tenaga pengajar amat berharap majlis ini dapat membakar semangat para pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh bagi menambah baik keputusan mereka dan secara tidak langsung menyumbang kepada pencapaian sekolah,” katanya ketika ditemui di Majlis Apresiasi Kecemerlangan Pelajar SMKBBS, di sini.
Majlis ini turut memberi kenangan dan penghargaan yang cukup besar kepada warga sekolah kerana ianya telah dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau mengucapkan syabas kepada 81 orang pelajar yang telah berjaya mendapat pengiktirafan dalam majlis tersebut.
“Sesuai dengan slogan ‘ABC + D’ iaitu anak yang baik, bijak, cerdik, cemerlang dan tidak terlibat dengan najis dadah maka saya amat berharap pihak sekolah dan pelajar terus berusaha agar mampu meningkatkan pencapaian dan tersenarai di tempat pertama dalam peringkat kebangsaan disamping mengekalkan pencapaian sedia ada,” ujarnya ketika merasmikan majlis tersebut.
Aminuddin turut menyatakan kesediaan pihaknya yang sentiasa menyediakan prasarana dan peluang pelajaran terbaik untuk pelajar di negeri ini.
“Pihak kerajaan negeri telah menyediakan pelbagai bantuan seperti bantuan awal persekolahan, bantuan pelajar Negeri Sembilan yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan pelbagai lagi bentuk bantuan yang memberi manfaat kepada para pelajar, justeru, apa yang diharapkan adalah para pelajar belajar bersungguh-sungguh dan terus maju demi masa hadapan,” tambahnya.
Dalam majlis yang sama, Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM15 ribu kepada pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKBBS.
Turut hadir Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Pegawai Pendidikan Daerah Jempol dan Jelebu, Penyelaras DUN Serting dan Ketua-ketua jabatan Daerah Jempol.
-AK