Laporan/foto: Rosli Md Zin (Bachok)
BACHOK, 21 Sep (Malaysiaktif)– Program Sesi Bual Bicara Anak Muda Malaysia Baharu telah berlangsung di Laman Monsun Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok, pada malam 15 September baharu ini.
16 September merupakan tarikh penting dalam sejarah negara di mana terbentuknya sebuah wilayah atau negara yang dikenali sebagai Persekutuan Malaysia dan akhirnya disebut sebagai Negara Malaysia yang genap usia penubuhannya 56 tahun hari ini.
Sejarah negara perlu difahami oleh generasi baharu iaitu bermula dari tuntutan kemerdekaan hinggalah pembentukkan sebuah negara dan menghayati bagaimana generasi terdahulu memperjuangkan kemerdekaan untuk meletakkan kepentingan negara lebih utama dari kepentingan sendiri.
Melayu, Cina, India dan bangsa-bangsa lain bersatu lalu bersama-sama menuntut kemerdekaan negara sehingga berjaya dan hari ini kita berpeluang hidup aman damai hasil perjuangan orang terdahulu.
Sememangnya kita perlu bersyukur walaupun pelbagai rintangan yang dihadapi oleh negara dari dalam atau dari luar yang mengancam demokrasi juga kebebasan individu seperti pemberontakkan komunis, konferantasi menentang penubuhan Malaysia, rusuhan kaum, ekstrimisme agama mahupun cauvinisme perkauman, negara telah berjaya mengharunginya dengan kaedah berasaskan prinsip keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang undang.
Mengikut panel Bicara Anak Muda Siswazah yang berasal dari Tuaran Sabah, Larrynson Joanis @ Oyok berkata anak muda zaman sekarang seharusnya memahami bahawa negara kita ini milik bersama dan kita perlu mengekalkan keharmonian Malaysia kerana ianya milik semua kaum.
“Konsep milik bersama untuk semua kaum ini perlu difahami dan dihayati oleh anak muda secara matang tanpa ada emosi perkauman atau sentimen terhadap sesuatu kaum di negara ini,” jelas Larrynson semasa sesi Bual Bicara Anak Muda Malaysia Baharu yang berlangsung di Laman Monsun UMK.
“Jika sudah difahami maka tidak timbul rasa kecurigaan antara kaum dan kita boleh membina negara dengan lebih berdaya saing untuk maju. Kita tidak mahu tragedi 13 Mei berulang kembali yang mana berpunca dari sedikit perselisihan faham, merebak menjadi besar kerana ketidak sefahaman antara kaum di Malaysia ketika itu,” tambahnya.
“Malaysia membangun dan berdiri sebagai sebuah negara yang disegani dalam bidang sukan, walaupun kita bukanlah sebuah negara yang besar Malaysia mampu memberi saingan kepada negara besar melalui jaguh-jaguh sukan seperti Nicole Ann David, Lee Chong Wei, Pandalela Rinong serta Azizul Hasni Awang,” ujar Larrynson lagi.
“Mereka melonjakkan nama Malaysia dalam sukan yang diceburi serta menitiskan air mata kegembiraan bila lagu Negaraku dimainkan dan lebih menarik lagi mereka terdiri daripada kepelbagaian kaum,” kata Larynson Joanis menutup pusingan pertama bual bicara.
Panel seterusnya, Muhamad Ikhram Ahmad Shafri pula berkata selain daripada mengenali sejarah tentang kemerdekaan anak muda juga perlu didedahkan dengan revolusi teknologi yang semakin berkembang seperti 5G yang mungkin akan sampai ke negara kita tahun hadapan.
“Ini juga harus didedahkan kepada anak-anak muda supaya tidak ketinggalan dan menjadi kejutan kepada anak muda. Namun harus diingat jangan kita menyalahgunakan teknologi ini untuk menghuru-harakan negara dan melagakan antara kaum dan kita juga perlu ingat ada dalang dari dunia luar yang menggunakan teknologi ini yang boleh mengugat negara kita,” ujarnya lagi.
Ikram menambah, Barat pernah menganjurkan agenda ini terhadap negara-negara Arab, malah mereka menggelar ‘Arab Spring’ sebagai kebangkitan rakyat Arab padahal mereka menggunakan teknologi untuk memporak perandakan negara tersebut,”
“Apa yang sewajarnya dilakukan oleh rakyat ialah terus mengekalkan kerharmonian dan kesejahteraan serta berusaha melipat gandakan usaha bagi menambah baik daya saing melalui pengunaan kreativiti, inovasi dan memanfaatkan revolusi industri 4.0 atau iR4.0,” tambah Ikram lagi.
“Pengunaan teknologi yang membataskan penggunaan tenaga manusia, mungkin tidak disukai oleh negara membangun seperti negara kita kerana banyak tenaga mahir yang dilahirkan dari institut kemahiran seperti Kolej Vokasional dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara yang sememangnya membekalkan tenaga mahir dalam pengurusan industri. Hakikatnya mesin-mesin berat berteknologi tinggi memerlukan manusia sebagai pencipta dan pengendali. Maka generasi muda tidak perlu risau akan perkara ini,” kata Muhamad Ikhram mengakhiri sesi beliau.
Seorang anak muda dari dari Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara, Firdaus Zahir yang ditemui berkata unsur-unsur keganasan yang dicetuskan dalam negara seperti pemasangan bendera terbalik, menggunakan bendera yang diberi gelaran “Sang Saka” serta perbuatan yang bersifat di luar norma demokratik perlu dihalang supaya ianya tidak mengancam keselamatan tanah air dan kesejahteraan rakyat dan tindakkan pencegahan perlu lebih tegas.”
“Kebebasan bersuara di negara ini bukanlah bermaksud hak kepada mana-mana pihak untuk menabur fitnah, menghasut dan mecetuskan spekulasi dan menimbulkan kebencian antara kaum di Malaysia sebaliknya perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh mengguriskan perasaan mana-mana kaum,” katanya lagi mengakhiri perbualan dengan Malaysiaaktif.
Turut bersama dalam program malam itu ialah Timbalan Naib Cancelor UMK, Profesor Dr Mohd Rafi Bin Yaakob dan Pengarah Penerangan Kelantan, Lim Ann Teck bersama 30 orang anak muda Kembara Komuniti Harapan dan hampir 400 orang belia sebagai perserta.
-NAZ