
Laporan/foto: Sapar Sutir (Rembau)
REMBAU, 19 Sep (Malaysiaaktif) – Program Merdeka@Komuniti dilaksanakan dengan meluas di seluruh negara bukan sahaja di ibu negeri, daerah, pekan kecil malah ia juga dilaksanakan di kawasan kampung dan pedalaman dengan pelbagai aktiviti yang menarik bersempena sambutan Bulan Kebangsaan 2019.
Sehubungan dengan itu, pihak Komuniti Harapan Malaysia (KHM) Kg. Sawah Raja dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan di sini mengadakan Sambutan Merdeka@Komuniti pada 16 September yang lalu sempena Hari Malaysia.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota, Sharizal Masrudin berkata aktiviti yang dilaksanakan melibatkan semua lapisan masyarakat dan peringkat umur dan kerjasama yang ditunjukkan amat membanggakan.
“Program sebegini dapat mengeratkan perpaduan di DUN Kota ini kerana di sini terdapat pelbagai kaum terdiri daripada India, Cina, masyarakat Orang Asli dan Melayu yang sekian lama tinggal berjiran dan sentiasa menjaga keharmonian serta kerjasama yang amat baik,” ujarnya ketika di temui, disini.
Dalam pada itu, menurut Pengerusi KHM Kg. Sawah Raja Mohd Saiful Mohd Zin, program ini bukan sahaja dapat meningkatkan semangat perpaduan, malah ianya dapat menambah ilmu pengetahuan melalui pelbagai aktiviti sepanjang program tersebut berlangsung.
“Pelbagai info boleh diperolehi di program ini, seperti pihak bomba yang telah menunjukkan demotrasi memadam kebakaran serta pertolongan kecemasan ketika berlaku kemalangan jalan raya, ini sedikit sebanyak dapat memberi pengetahuan baharu kepada masyarakat yang hadir,” katanya ketika ditemui.
Di samping itu, pelbagai gaya pakaian telah dipersembahkan oleh kanak-kanak yang menyertai pertandingan pakaian beragam yang bertemakan kemerdekaan, turut diadakan acara sukan tradisional seperti mengupas kelapa dan pencak silat.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan Mohamad Taufek Abd Ghani, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan Mejar (K) Sabarudin Yeop Hamza, Pegawai Penerangan Daerah Rembau Malini Yunus dan Ketua-ketua jabatan Daerah Rembau.
-AK