Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

STEM Jana Modal Insan Berkemahiran dan Berpengetahuan Tinggi

By 19 September 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Anuar Che Amat (Kangar)

KANGAR, 19 Sept (Malaysiaaktif) – Bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik (STEM) sangat penting untuk pelajar bersaing di peringkat global di mana kebanyakan negara maju menekankan STEM kerana ia meliputi setiap aspek kehidupan masyarakat dan menjadi penyumbang kepada kemajuan ekonomi negara pada masa akan datang.

Pekara tersebut dinyatakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Ibni Putra Jamalullail ketika bertitah menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Syoknya Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik (STEM) dan Inovasi Peringkat Kebangsaan bertempat di Sekolah Kebangsaan Jejawi.

“Modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran di dalam bidang tersebut sangat diperlukan kepada negara untuk kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa serta peningkatan kecemerlangan pelajar STEM di dalam penyelidikan ciptaan baru dan inovasi ini seterusnya dapat menyediakan lebih banyak peluang perkerjaan,” titah baginda.

Pertandingan roket air yang turut diadakan sempena Karnival Syoknya Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik (STEM) dan Inovasi Peringkat Kebangsaan,

Pertandingan roket air yang turut diadakan sempena Karnival Syoknya Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik (STEM) dan Inovasi Peringkat Kebangsaan,

Kebangkatan tiba baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalill dan disambut oleh Pengarah Pendidikan Perlis Izmi Ismail, Dekan  Pusat Pengajian Kejuteraan Bio Proses UniMAP Dr. Farizol Hafiz Kasim, Ketua Unit Pusat STEM Negara Dr. Nor Suhara Fadzli, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Jejawi Zairi Bakar.

Menurut baginda lagi, negara sangat memerlukan kepakaran dan kemahiran yang berteraskan bidang STEM dan oleh itu diharapkan minat di dalam bidang sains dan matematik dikalangan pelajar sekolah boleh dicetuskan melalui pendidikan STEM dan usaha seperti ini perlu mendapat sokongan semua pihak agar ia tersemat di dalam minda pelajar dan sekaligus  membantu mencapai hasrat negara untuk melahirkan pelajar bertaraf profesional.

Pengarah Pendidikan Perlis, Izmi Ismail di dalam ucapan aluan memaklumkan bahawa Karnival STEM dan Invosi Peringkat Kebangsaan ini merupakan program perintis pertama peringkat kebangsaan dan lebih bermakna kerana ia diadakan di negeri ini anjuran bersama oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan PIBG Sekolah Kebangsaan Jejawi.

Para pelajar melihat pameran inovasi yang turut dipamerkan.

Para pelajar melihat pameran inovasi yang turut dipamerkan.

“Karnival ini disertai oleh 40 buah sekolah dari negeri Perlis dan 7 buah sekolah dari negeri Terengganu, Pahang, Kedah, Wilayah Persekutuan, Perak dan Pulau Pinang yang melibatkan penyertaaan lebih dari 500 pelajar.

Pelbagai aktiviti menarik telah disusun sepanjang karnival ini berlangsung  seperti pertandingan roket air sasaran, kuiz sains  dan matematik, saintis muda, pertandingan inovasi, bengkel dan juga pameran,” katanya.

Tambah beliau lagi, kesemua elemen ini merupakan kaedah yang dicadangkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi mencapai Key Performance Indicator (KPI) 2 iaitu peratus penglibatan murid dalam aktiviti kokurikulum berunsurkan STEM di bawah inisiatif 49 pengukuhan STEM.

“Kepentingan bidang STEM ini tidak dapat disangkal dalam mengharungi kehidupan pada abad ke-21 dan bagi mencapai objektif untuk mempromosikan dasar pendidikan STEM negara generasi muda telah dipersiapkan untuk berhadapan dengan evolusi industri 4.0 yang memerlukan kepakaran di bidang STEM,” ujarnya lagi.

Turut hadir, ADUN Sena Asrul Nizan Abdul Jalil dan Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad.

-NI-

 

Tinggalkan komen anda