Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanRencana & Pendapat

Siput Keromboi Makanan Eksotik dapat Permintaan Tinggi

By 27 September 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Luhat Ajang (Kuching)

KUCHING, 27 Sept (Malaysiaaktif) – Nampak pelik ataupun aneh bagi sesetengah orang tapi sedap dan menarik bagi orang lain. Begitulah apa yang berlaku kepada naluri mahupun selera kita sebagai manusia yang mempunyai beberapa persamaan dan perbezaan.

Sarawak yang mempunyai penduduk dari berbilang kaum dan pegangan agama memang terkenal dengan makanan eksotik seperti ulat mulong atau ulat sagu, umai, ambuyat/linut dan sebagainya.

Salah satu makanan yang digemari oleh penduduk Sarawak ialah siput yang lebih dikenali dengan nama ‘keromboi’ dan ‘tekuyung’ dalam dialek tempatan.  Berbagai jenis siput terdapat di Sarawak walaupun bukan semuanya boleh dimakan.

Saiz keromboi adalah lebih besar dan lebih berisi berbanding tekuyung yang mana habitatnya terletak di anak – anak sungai dan kawasan berpaya.

Mujan Jok “cengkerang keromboi boleh dibuat kapur sirih”

Mujan Jok “cengkerang keromboi boleh dibuat kapur sirih”

Jika kita meninjau ke pasar tamu di beberapa daerah di Sarawak kita pasti akan terjumpa dengan beberapa orang penjual yang menjual makanan ini dengan harga tertentu.

Bagaimanapun bukan semua orang menggemari makanan ini kerana menganggapnya sesuatu yang pelik dan sukar diperolehi di sesuatu tempat yang berlainan.

Penempatan yang berdekatan dengan air khasnya sungai banyak mempengaruhi pola pemakanan seseorang ataupun komuniti. Masyarakat yang tinggal jauh di pedalaman dan agak jauh dari sungai akan turut mempengaruhi pola makanannya.

Mempelbagaikan makanan dalam diet harian membolehkan kita memiliki kesihatan yang baik kerana setiap makanan yang kita makan mempunyai khasiatnya yang tersendiri.

Mujan Jok Lasa, 61 tahun yang berasal dari daerah Baram dan juga penggemar sirih mengatakan keromboi dan tekuyung masih banyak terdapat di persekitaran kampungnya.

Menurut Mujan, selain dijadikan makanan, cengkerang keromboi juga boleh dijadikan kapur sirih untuk dimakan bersama sirih dan pinang. Ianya dibakar terlebih dahulu sehingga menjadi abu putih yang kemudiannya dicampur sedikit dengan air seterusnya dijadikan kapur sirih.

“Zaman dahulu penggemar sirih sukar memperolehi kapur kerana jarak kampung dengan pekan yang menjual barang runcit adalah jauh. Sebab itulah kami membuat kapur menggunakan cengkerang keromboi”, tegas Mujan.

Katanya lagi, salah satu kegunaan lain menurut kepercayaan lama penduduk kampung sekitar tahun 60an – 70an ialah cengkerang keromboi kosong ditebuk lubang kecil sebelum dicantumkan satu persatu menggunakan tali halus ataupun belahan rotan.

Antara tekuyung yang terdapat Sarawak

Antara tekuyung yang terdapat Sarawak

Ia kemudiannya diikat ataupun digantung pada pohon kelapa. Penduduk percaya kelapa yang diikat atau digantung dengan cengkerang tadi akan mengeluarkan buah yang lebat.

“Makin banyak cengkerang digantung, nescaya makin lebatlah buahnya”, tambah Mujan lagi.

Sejauh mana keberkesanan amalan ataupun petua tersebut tidak dapat dipastikan kerana rata – rata penduduk pada masa tersebut mempraktikkannya pada tanaman kelapa mereka.

Keromboi boleh dimasak dengan berbagai cara ataupun resepi bergantung kepada selera penggemarnya. Berbanding tekuyung, keromboi mestilah direbus terlebih dahulu untuk mengeluarkan isinya sebelum dimasak sepenuhnya.

Mujan yang kesal dengan pencemaran yang sering dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap sungai berharap agar tindakan tegas diambil terhadap mereka demi menjaga kelestarian hidupan air.

Salawati Sarkawi, kacukan Melayu/Bidayuh yang berasal dari Kampung Melayu Tebakang, Serian memberitahu tekuyung masak tempoyak dalam buluh ataupun pansuh paling diminatinya.

“Sebenarnya banyak cara memasak tekuyung di kampung saya, tetapi masak dalam buluh memang paling sedap. Selain itu cengkerang tekuyung mahupun keromboi biasanya kami tabur di sekeliling tanaman terutamanya cili untuk dijadikan baja semulajadi”, kata Salawati

Tekuyung digoreng kicap menjadi kegemaran masyarakat tempatan

Tekuyung digoreng kicap menjadi kegemaran masyarakat tempatan

Midas Nimbun, berasal dari Sematan memberitahu salah satu cara menangkap keromboi ataupun tekuyung ialah dengan mencampak daun ubi kayu ke dalam sungai ataupun kawasan paya yang akan menarik perhatian keromboi untuk datang memakannya.

“Dalam tempoh selepas setengah jam ataupun semalaman, keromboi mahupun tekuyung pasti akan muncul untuk memakan daun ubi tersebut”, kata Midas.

Isteri Midas iaitu Jospehine Poh minat memakan tekuyung tetapi sebelum dimasak haruslah dicuci sebersih – bersihnya.

“Tekuyung dimasak dengan rebung ataupun dicampur pucuk paku sangat sedap”, kata Josephine yang memang meminati makanan tradisi kampung.

Bagi yang mempunyai bakat ataupun minat dalam seni hiasan dan ukiran, cengkerang keromboi dan tekuyung boleh dimanfaatkan sepenuhnya sama ada sebagai hobi ataupun tujuan komersil.

Jelaslah bahawa makanan sebegini masih mempunyai peminatnya. Walaupun dianggap pelik dan aneh bagi seseorang tetapi menarik dan sedap bagi yang lainnya.

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda