PUTRAJAYA, 27 Sept (Malaysiaaktif) – Kementerian Komunikasi dan Multimedia mempertimbangkan cadangan untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi membendung isu salah guna media sosial, kata menterinya, Gobind Singh Deo.
Beliau berkata masalah tersebut adalah kebimbangan umum bahawa terdapat keperluan untuk mencari jalan bagi menangani masalah penyalahgunaan dalam media sosial.
“Kami akan mengkaji cadangan penubuhan jawatankuasa ini pada sidang Parlimen akan datang. Apa yang dipertimbangkan sekarang adalah mencari mekanisme mendapatkan maklum balas daripada orang awam dan pemegang taruh utama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog bertajuk ‘Ke Arah Kebebasan Media dan Memerangi Berita Tidak Benar’ anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) di Universiti Sunway, Subang Jaya, dekat sini, hari ini.
Beliau berkata perkara itu adalah antara pelbagai cadangan yang dikemukakan banyak pihak berkaitan isu tersebut dan kementerian masih mengadakan perbincangan mengenainya.
Katanya, beliau akan memastikan semua suara pihak berkepentingan akan didengar sebelum keputusan diambil dan membuka ruang kepada mereka untuk mengemukakan cadangan penambahbaikan ke arah memerangi berita tidak benar.
Ditanya sama ada jawatankuasa pilihan Parlimen itu merupakan langkah tindak balas bagi usul memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 dalam sidang Parlimen akang datang, Gobind berkata ia sama sekali sebuah inisiatif berasingan.
Ditanya sama ada cadangan penubuhan jawatankuasa pilihan Parlimen itu turut melibatkan penubuhan sebuah suruhanjaya bebas media sosial, katanya, ia dalam pertimbangan.
“Kita akan mengadakan sebuah suruhanjaya yang terdiri daripada orang awam atau individu bebas yang dapat memberi nasihat tentang bagaimana kita perlu bergerak ke depan apabila menangani isu-isu berkenaan media sosial,” katanya.
Menurutnya, tujuan suruhanjaya tersebut adalah untuk memberi kebebasan dalam membuat keputusan berhubung isu berkaitan media sosial tanpa campur tangan atau pengaruh mana-mana pihak termasuk kerajaan.
Bagaimanapun, Gobind menjelaskan struktur suruhanjaya itu belum lagi diputuskan.
— BERNAMA