Laporan/ foto: Muhammad Fandy Azam/ Khairunnisa Abd Rahman (Melaka Tengah)
MELAKA, 10 Sep (Malaysiaaktif) – Mengimbas kembali nostalgia zaman dahulu menjadi objektif utama kepada penganjuran Wayang Pacak bersempena dengan Program Merdeka @ Komuniti DUN Ayer Molek di sini, baru-baru ini.
Program yang telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Industri Utama merangkap Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mohd Akin itu adalah kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Melaka Tengah, Komuniti Harapan Malaysia (KHM) Kampung Tambak Paya dan KHM Kampung Kandang yang telah menghimpunkan lebih 100 orang penduduk setempat.
Menurut Shamsul, program ini dapat memberikan impak kepada masyarakat terutama generasi muda bagi mengenali dan memahami istilah wayang pacak yang begitu sinonim dengan Jabatan Penerangan pada masa dahulu.
“Sebelum kewujudan media elektronik, wayang pacak inilah yang menjadi tarikan utama kepada masyarakat bagi mengetahui perkembangan semasa selain dijadikan hiburan bagi mengisi masa lapang,” ujarnya.
Kenyataan ini turut dipersetujui oleh Pegawai Penerangan Daerah Melaka Tengah, Mohd Noor Samion yang ditemui berkata pendekatan yang dibawa serta diterapkan dalam program ini mampu mengeratkan lagi silaturahim sesama masyarakat apabila berjaya mengabungkan dua KHM dalam satu program.
“Terima kasih atas kerjasama pelbagai pihak terutama kerajaan negeri dalam memastikan segala program yang dirancang oleh Jabatan Penerangan diterima dan disokong oleh masyarakat setempat,” tambah beliau.
Wayang pacak ini telah ditayangkan dengan cerita blokbuster Paskal dan turut diadakan cabutan nama bertuah kepada orang ramai.
-KN