Laporan/foto : Mazlin Basir/Noor Hidayah Mohd Izam (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 14 Okt (Malaysiaaktif) – Seramai 65 orang penduduk Kampung Sungai Suloh Batu Pahat telah menerima bantuan wang ihsan banjir dari Kumpulan Wang Amanah Pengurusan Bencana Persekutuan baru-baru ini.
Pada 7 hingga 9 September 2018 tahun lalu, Kampung Sungai Suloh telah menerima musibah banjir yang menyebabkan kerosakan harta benda dan tanaman.
Penolong Pesuruhjaya Pertahanan Awam, Mat Zin Bujang berkata, “pada petang ini kita akan menyampaikan sumbangan daripada Kerajaan Persekutuan kepada mangsa-mangsa yang terjejas akibat bencana yang berlaku di mana kami dari Angkatan Pertahanan Awam telah mengambil alih tugas-tugas sekretariat pengurusan bencana daripada Majlis Keselamatan Negara sejak tahun 2015 lagi.”
Tambah beliau lagi, pelbagai agensi lain turut terlibat membantu orang awam yang ditimpa musibah seperti Polis Diraja Malaysia(PDRM), Pejabat Daerah, Bomba, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Ketua Kampung dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang telah banyak membantu dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat yang terjejas.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Ir. Khairuddin A. Rahim berkata, program ini bertujuan untuk meringankan beban mangsa banjir yang telah mengalami kehilangan serta kerosakan harta benda dan menjadi hasrat kerajaan agar sifat keprihatinan ini sentiasa dipupuk dan dijadikan tanggungjawab di kalangan masyarakat dalam membantu golongan yang memerlukan.
“Bencana banjir yang melanda Kampung Sungai Suloh pada 7 September tahun lalu adalah satu fenomena yang berlaku apabila tibanya musim monsun timur laut.
“Pihak kerajaan prihatin akan nasib mereka yang mengalami bencana sebegini malahan jabatan kerajaan seperti Pejabat Daerah yang diketuai oleh Pegawai Daerah dan agensi-agensi lain akan sentiasa membantu, berganding bahu serta bekerjasama menghulurkan bantuan,” katanya.
Ujar Khairuddin lagi, pihak Sekolah Kebangsaan Sungai Suloh juga turut menyediakan tempat penginapan di Pusat Pemindahan Banjir yang menempatkan mangsa-mangsa banjir dari Kampung Sungai Suloh.
“Saya merasa amat sedih melihat keadaan mangsa yang terpaksa berpindah akibat kawasan rumah mereka dinaiki air secara mendadak.
“Namun demikian, semangat yang ditunjuk para sukarelawan dalam membantu mangsa banjir di sini membuatkan saya rasa terharu dan berterima kasih kepada semua yang terlibat,” ujarnya ketika berucap di Program Bantuan Wang Ihsan, Sekolah Kebangsaan Sungai Suloh Batu Pahat.
Tambah beliau, sewajarnya agensi dan sukarelawan ini diberi penghargaan atas sumbangan bakti yang ditaburkan dan beliau turut berharap agar usaha seperti ini menjadi contoh kepada lebih ramai masyarakat di luar sana untuk sama-sama bersedia dan menawarkan perkhidmatan apabila diperlukan.
Dalam pada itu, Burok Seman, 84, dari Kampung Sungai Suloh salah seorang penerima bantuan wang ihsan banjir menyatakan rasa syukur dan berterima kasih atas keprihatinan kerajaan dalam membantu mangsa-mangsa banjir yang terlibat pada tahun lalu dan diharapkan pihak kerajaan akan terus membantu rakyat yang ditimpa kesusahan.
Turut hadir, Pegawai Daerah Batu Pahat Zulkiflee Abbas dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat Kamaludin Jamal.
-NI-