Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Taman Tasik Danau Kota Tarikan Terkini Di Parlimen Wangsa Maju

By 14 Oktober 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Azuraini Abd Majid (Kuala Lumpur) 

 

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Malaysiaaktif – Danau Kota tidak asing  bagi warga kota Kuala Lumpur terutamanya  penduduk sekitar Parlimen Wangsa Maju. Di sinilah ‘syurga’ makanan dan ‘uptown’ yang menjadi  tumpuan di malam hari.

 

Hari ini, Danau Kota mencipta sejarah  apabila secara rasminya Taman Tasik Danau Kota dibuka kepada orang awam  setelah siap sepenuhnya pada Julai 2019 yang lalu.

 

“Inisiatif pembinaan taman tasik ini adalah untuk memupuk minat dan meningkatkan kesedaran warga kota terhadap kepentingan menjaga  kesihatan. Dengan adanya pusat riadah ini  orang awam boleh melakukan aktiviti bersukan bersama  teman-teman dan ahli keluarga,” ujar Datuk Bandar Kuala Lumpur, Norhisham A. Dahlan dalam ucapan perasmian, di sini hari ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A.Dahlan sewaktu menyampaikan ucapan perasmian

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A.Dahlan sewaktu menyampaikan ucapan perasmian

Beliau turut berkata dengan pembukaan  Taman Tasik Danau Kota ini, ia  sangat bertepatan dengan pelancaran Bulan Sukan Negara  sepanjang Oktober ini.  Ia juga sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia ‘Negara Dalam Taman’ yang maju dan berteknologi tinggi pada masa akan datang.

 

Menurut Norhisham lagi, tapak taman ini asalnya adalah kawasan kolam tadahan terbiar yang dipenuhi belukar dan kawasan setinggan.

 

“Pembangunan taman ini mengambil kira konsep mesra pengguna daripada segi susun atur reka bentuk landskap dengan  dilengkapi Taman Permainan Kanak-Kanak (TPKK) yang berkonsepkan ‘Water Play Area’,  wakaf,  bangku konkrit dan granite,  tandas awam,  pejabat taman,  parkir, boulevard dan juga plaza, ”  ujar  beliau lagi.

 

Antara kanak-kanak yang mengambil bahagian dalam pertandingan mewarna.

Antara kanak-kanak yang mengambil bahagian dalam pertandingan mewarna.

 

Norhisham melahirkan harapan agar pembukaan taman ini   dapat menyediakan persekitaran bandar yang lebih kondusif dan seimbang dengan pembangunan fizikal.

 

Serentak dengan perasmian taman ini juga diadakan program penanaman pokok di sekitar taman tasik iaitu sebanyak 50 batang Pokok Merbau (Instia Palembanica) yang telah diisytiharkan sebagai pokok kebangsaan, pokok Bungor (Lagerstromia)  45  batang dan pokok Penaga Lilin (Mesua Ferrea) sebanyak  5 batang.

 

Bersempena perasmian ini juga, turut diadakan pertandingan mewarna  untuk kanak-kanak, pameran dan juga gerai jualan. Hadir sama, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datuk Dr. Tan Yee Kew serta Pengarah-Pengarah Eksekutif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)

– AO

 

 

Tinggalkan komen anda