Laporan/Foto: Azuraini Abd Majid/Parameswary Lekshmnan (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 14 Okt (Malaysiaaktif) – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menyasarkan pembinaan 80 ribu unit Residensi Wilayah dalam tempoh 10 tahun lagi bagi memenuhi kehendak dan harapan rakyat untuk memiliki rumah mampu milik di Kuala Lumpur.
Residensi Wilayah adalah pangsapuri kos rendah yang dibina di sekitar Kuala Lumpur dan dijual pada harga yang berpatutan kepada rakyat khususnya yang berpendapatan rendah, B40.
“Pasaran hartanah kian melambung tinggi, ditambah pula dengan berkurangnya kuasa membeli, maka tidak hairanlah ramai golongan berpendapatan sederhana kini menjadi sebahagian daripada generasi yang tiada tempat tinggal. Kadar gaji yang diterima sekadar hanya mampu memenuhi kos sara hidup terutamanya yang tinggal di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur. Hal ini seakan-akan membantutkan usaha mereka untuk memiliki rumah sendiri,” tegas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.
Menurut beliau inisiatif Kerajaan menerusi pembinaan rumah mampu milik di bawah harga RM200 ribu dapat memenuhi impian golongan muda yang baru melangkah ke alam pekerjaan. Apa yang lebih menarik lokasi residensi seperti Residensi Kepongmas dan Residensi Wangsamas terletak di kawasan strategik dan mudah diakses melalui jalan-jalan utama.
“Kawasan kediaman ini boleh juga menggunakan kemudahan pengangkutan awam seperti LRT, MRT dan Monorel. Ia dapat mengurangkan penggunaan kenderaan peribadi dan menjimatkan kos minyak dan penyelenggaraan,” jelas Khalid pada sidang media setelah menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Unit Residensi KepongMas, hari ini.
“Di Malaysia, kuasa beli kondominium atau pangsapuri bernilai tinggi sangat kurang dan kelonggaran penurunan nilai hartanah bagi pemilikan asing dilihat dapat menyelesaikan masalah lambakan perumahan yang tidak terjual di negara ini,” ujar beliau ketika mengulas pembentangan Bajet 2020 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng Jumaat lalu.
Khalid Samad menegaskan kementeriannya akan terus bekerjasama dengan pemaju-pemaju perumahan yang berkaliber dan mempunyai komitmen tinggi bagi merealisasikan impian warga Wilayah dalam mencorak kehidupan yang lebih selesa dan dinamik.
-AO