Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Residensi Kepongmas Gembira Miliki Rumah Di Ibu Negara

By 15 Oktober 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Azuraini Abd Majid/Parameswary Lekshmnan (Kuala Lumpur)

 

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Malaysiaaktif) – Kementerian Wilayah Persekutuan menerusi Aset Kayamas. Sdn. Bhd merealisasikan impian 1,514 warga kota untuk memiliki rumah sendiri di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.

 

Residensi Kepongmas, unit kediaman bertingkat yang dilengkapi tiga (3) bilik tidur, dua (2) bilik mandi serta satu (1) tempat letak kereta berbumbung ini merupakan salah satu projek Rumah Mampu Milik yang dijual pada kadar harga serendah dari RM188,000 hingga RM198,000.

 

Residensi ini terletak 12km dari pusat bandar  dan  mudah diakses melalui jalan-jalan utama seperti Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) dan Jalan Kuching.

 

Perumahan ini turut menawarkan pelbagai kemudahan asas kepada penghuninya seperti ruang taska, tempat rekreasi, kedai serbaneka, dewan serbaguna dan surau.

Khalid Samad menyempurnakan gimik perasmian Majlis Penyerahan Kunci Unit Residensi KepongMas

Khalid Samad menyempurnakan gimik perasmian Majlis Penyerahan Kunci Unit Residensi KepongMas

Taman Tasik Metropolitan Kepong yang bersebelahan dengannya juga membolehkan warga Kepongmas meluangkan masa  melakukan aktiviti-aktiviti riadah bersama keluarga sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

 

“Pembangunan rumah mampu milik yang bukan sahaja selesa malah terletak di lokasi yang optimal perlu diberi perhatian khususnya kepada golongan muda di bawah umur 29 tahun yang meliputi lebih 70 peratus pencari rumah pada masa kini,” ujar Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

 

“Kerajaan  sentiasa berusaha  merealisasikan impian pemilikan rumah pertama  terutama golongan berpendapatan rendah  di negara ini khususnya di  bandaraya Kuala Lumpur  memandangkan  harga rumah semakin meningkat  ekoran permintaan tinggi dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

 

Beliau hadir di majlis  Majlis Penyerahan Kunci Residensi Kepongmas yang telah siap dibina sembilan bulan lebih awal dari tarikh jangkaan, di sini, hari ini.  Menurut Khalid, Aset Kayamas. Sdn. Bhd. merupakan satu-satunya pemaju Residensi Wilayah yang menawarkan harga rumah di bawah RM200,000. Seramai  6,261 pemilik rumah mampu milik di lapan (8) residensi  sekitar Kuala Lumpur telah menerima kunci rumah masing-masing  sehingga kini.

Mahafiza Maroh gembira dan bersyukur akhirnya dapat memiliki rumah idaman di Kuala Lumpur

Mahafiza Maroh gembira dan bersyukur akhirnya dapat memiliki rumah idaman di Kuala Lumpur

“Saya sangat gembira dan teruja kerana pada usia yang lewat begini akhirnya saya mampu memilik rumah di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur yang lengkap dengan fasiliti dan harga yang sangat berpatutan,” ujar  salah seorang pemilik, Mahafiza Maroh, 40, ketika ditemui Malaysiaaktif.

 

Bagi seorang penjawat awam yang turut menerima kunci Residensi Kepongmas, Sharifah Hazwani Syed Mahusin, 35,  melahirkan rasa gembira menerima kunci pada majlis tersebut  kerana berjaya memiliki rumah  di tengah bandaraya Kuala Lumpur.

 

Turut hadir di majlis ini Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng; Pengerusi Aset Kayamas, Tan Sri Datuk Chai Kin Kong dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan & Sosio Ekonomi) Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Rosida Jaafar.

-AO

 

Tinggalkan komen anda