
Laporan/foto : Anuar Che Amat (Kangar)
KANGAR, 28 Okt (Malaysiaaktif) : Seramai 84 pelajar Sekolah Kebangsaan Padang Keria telah menyertai Bengkel Asas Kewartawanan anjuran bersama Pusat Sumber Za’aba Sekolah Kebangsaan Padang Keria dan Jabatan Penerangan Negeri Perlis baru baru ini.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Padang Keria, Suzaide Noh berkata program ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang ilmu fotografi dan bidang kewartawanan dengan lebih dekat.
“Selama ini mereka cuma memerhatikan para wartawan menjalankan tugas di kaca televisyen sahaja dan pada hari ini mereka diajar cara menulis berita dan mengambil gambar dengan teknik yang betul,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, bengkel yang pertama kali diadakan ini juga secara tidak langsung dapat membentuk keyakinan diri para pelajar untuk mencuba sesuatu yang baru dan ia juga merupakan satu pengalaman dan bekalan jika mereka bercita-cita menjadi seorang wartawan yang sebenar apabila dewasa kelak.
“Bengkel ini juga dapat meningkatkan kefahaman para pelajar dalam mempelajari pelbagai teknik fotografi dan etika serta penampilan dalam bidang kewartawanan masa kini dan saya melihat para pelajar bersungguh-sungguh menyiapkan tugasan yang telah diberikan.”
“Saya berharap dengan semangat yang ditunjukkan itu, kita dapat melahirkan lebih ramai wartawan dan jurukamera cilik dalam menghasilkan karya bagi dimuat naik di laman sosial rasmi sekolah nanti”, ujarnya lagi.
Para peserta yang terdiri dari pelajar darjah empat hingga enam ini diberi taklimat kewartawanan oleh Puan Sullia Salleh, Pensyarah Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin dan asas fotografi oleh Anuar Che Amat dari Jabatan Penerangan Negeri Perlis.
Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perlis, Azrul Hassan ketika merasmikan majlis penutup program tersebut berkata program ini merupakan satu usahasama yang baik di antara jabatan dan sekolah ini.
“Saya berharap para pelajar dapat mempratikkan sebaik mungkin segala ilmu yang telah diajar dan saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah dan persatuan ibu bapa yang turut terlibat sama memberikan sokongan di dalam menjayakan bengkel ini.
“Mungkin kita akan cuba menganjurkan kursus pengucapan awam pula selepas melihat kejayaan bengkel ini,” ujar beliau.
Turut diadakan majlis penyampaian hadiah dan sijil kepada para pelajar yang menyertai bengkel oleh Pengarah Penerangan Negeri Perlis.
-NI-