Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanMASabah

Festival Kebudayaan Harus Tembusi Pelancong Luar

By 29 Oktober 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Marryan Razan (Kota Kinabalu)

KOTA BELUD, 29 Okt (Malaysiaaktif) – Penganjuran festival berasaskan kebudayaan dan tradisi etnik di negeri ini harus berupaya menarik kehadiran pelancong daripada luar negara.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick berkata, kawasan luar bandar mempunyai pelbagai produk menarik untuk dijadikan tarikan pelancongan selain keindahan semula jadi, iaitu festival-festival kebudayaan dan tradisi etnik Sabah.

“Di Kota Belud, kita mengadakan acara tahunan Tamu Besar Kota Belud yang mempamerkan pelbagai kebudayaan etnik masyarakat di daerah ini termasuk Pesta Makanan Tradisional.

“Tetapi ianya akan bertambah menarik dan berjaya sekiranya kita dapat menarik kehadiran pelancong luar negara berkunjung ke daerah ini untuk melihat keunikan dan keistimewaan adat budaya, makanan tradisi dan lain-lain yang kita boleh tawarkan.

“Saya memuji usaha pihak penganjur Pesta Makanan Tradisi sempena Sambutan Tamu Besar Kota Belud dan berharap ianya akan diteruskan pada masa akan datang.

 Ewon membeli ikan masin sebagai sokongan kepada para peniaga yang berniaga sempena pesta makanan itu.

Ewon membeli ikan masin sebagai sokongan kepada para peniaga yang berniaga sempena pesta makanan itu.

“Tetapi setakat hari ini, hanya kita-kita sahaja yang meraikan pesta ini dan tidak dapat ditonjolkan kepada pelancong luar. Kita mesti berupaya memperkenalkan makanan tradisi ini kepada pelancong luar dan usahawan-usahawan kita boleh menjadikannya satu perusahaan komersil,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Pesta Makanan Tradisional Kota Belud sempena Tamu Besar Kota Belud di Tamu Sosondoton View Kampung Piasau, di sini, pada Sabtu.

Turut hadir Pegawai Daerah Kota Belud, Diyanah Abdullah; Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pelancongan Sabah, Mustapha Sakmud dan mantan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian bersetuju dengan cadangan Pegawai Daerah Kota Belud agar Pesta Makanan Tradisi dianjurkan di luar Kota Belud pada tahun hadapan.

Ewon melawat gerai-gerai yang menjual makanan tradisional.

Ewon melawat gerai-gerai yang menjual makanan tradisional.

“Kalau kita tidak dapat menarik pelancong luar negara berkunjung ke Kota Belud melihat pesta ini, biar kita pula yang mendekati mereka dengan kerjasama pusat-pusat membeli belah atau hotel di Kota Kinabalu supaya para pelancong dapat melihat sebahagian daripada produk pelancongan yang kita tawarkan di Kota Belud,” katanya.

Beliau berkata, pihak kerajaan melalui kementerian dan pejabat daerah boleh memainkan peranan menaiktaraf kemudahan-kemudahan infrastruktur awam di kampung-kampung yang mengusahakan aktiviti pelancongan, manakala persatuan-persatuan pelancongan boleh memainkan peranan dalam aktiviti promosi dan pemasaran pelancongan.

Terdahulu, Ewon merasmikan Program Kesedaran Kecergasan Sempena Bulan Sukan Negara Peringkat Mukim Taginambur di Sweat Factory Centre di Kampung Taginambur Jaya.

Ketika berucap pada majlis tersebut, beliau berkata, Pesta Badi Taginambur yang ditunda pada Ogos akan diadakan 12 hingga 13 Disember 2019 dan akan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew.

Ewon bergambar bersama ahli jawatankuasa penganjur pesta itu.

Ewon bergambar bersama ahli jawatankuasa penganjur pesta itu.

Penundaan tersebut bagi membolehkan penyiapan dewan Kadamaian Square yang sedang rancak dalam kerja-kerja pembinaan sekarang.

“Kerajaan Negeri Sabah melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar telah bersetuju untuk memberikan geran tahunan sebanyak RM30,000 kepada Persatuan Pelancongan Taginambur untuk menganjurkan pesta ini.

“Saya berharap pesta ini akan menjadi identiti baru Kadamaian dan mengetengahkan keunikan dan keistimewaan tersendiri yang tidak ada di dalam penganjuran pesta atau festival kebudayaan lain di Kota Belud,” katanya.

Menurut Ewon, pembangunan semula Pekan Mini Taginambur sedang rancak dilaksanakan termasuk penyiapan dewan Kadamaian Square yang berfungsi sebagai pusat aktiviti utama di DUN Kadamaian, penaiktarafan kemudahan Tamu Taginambur serta pembinaan Kompleks Keusahawanan Desa yang akan dimulakan tidak lama lagi.

Ewon bersalaman dengan para peniaga yang berniaga sempena pesta itu.

Ewon bersalaman dengan para peniaga yang berniaga sempena pesta itu.

“Ini akan ditambah dengan penambahbaikan tebing sungai, pembinaan laluan pejalan kaki berpondok dan pembinaan Walai Kadamaian yang berfungsi sebagai rumah rehat, penginapan dan kafeteria pelancong pada masa hadapan.

“Ini merupakan sebahagian daripada Pelan Pembangunan Kadamaian, 2020-2035 yang saya inisiatifkan untuk kemudahan berkaitan industri pelancongan di Kadamaian.

“Apa yang baik untuk Kadamaian adalah baik untuk Kota Belud dan juga baik untuk Sabah,” katanya.

ER

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda