Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

Garis Panduan Kerusi Keselamatan Kanak-kanak Pupuk Kesedaran Ibu Bapa

By 24 Oktober 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/ foto: M Zakry Chan/ Facebook rasmi TPM (Melaka)

MELAKA, 24 Okt (Malaysiaaktif) – Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail semalam melancarkan Buku Garis Panduan Kerusi Keselamatan Kanak-kanak di Malaysia dan Minggu Keselamatan Kenderaan 2019 di Makmal Ujian Perlanggaran MIROS PC3, Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia, Melaka.WhatsApp Image 2019-10-24 at 15.15.48

Buku Garis Panduan Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak di Malaysia merupakan satu  dokumen strategik dan tatacara yang dibangunkan oleh MIROS bagi penyeragaman secara menyeluruh antara kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, industri serta orang awam khusus dalam pelaksanaan dasar kerajaan bagi mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di Malaysia pada tahun 2020.

Ia menggariskan objektif, sasaran dan strategi yang merangkumi aspek pematuhan piawaian, tatacara serta penguatkuasaan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di atas jalan raya, di premis perniagaan dan jualan atas talian.

Menurut Wan Azizah, kerajaan amat prihatin terhadap isu kemalangan jalan raya yang menyebabkan kecederaan dan kematian dalam kalangan kanak-kanak.

“Golongan kanak-kanak merupakan aset negara yang akan menjadi penyambung nadi pembangunan negara pada masa hadapan, kita semua mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan persekitaran yang selamat dan kondusif untuk pembangunan modal insan di negara ini.

“Dasar ini juga adalah selaras dengan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam memberi keutamaan kepada perlindungan kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama,”ujarnya.WhatsApp Image 2019-10-24 at 15.13.06

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook  berkata, keputusan kerajaan untuk mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di Malaysia pada tahun 2020 adalah sejajar dengan Peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Malaysia merupakan Negara Penjanji di bawah Perjanjian 1958 (United Nations Regulations – UNR) dan Perjanjian 1998 (United Nations Global Technical Regulations – UN GTR), peraturan UNR44 menyatakan bahawa peranti keselamatan untuk kanak-kanak adalah ditetapkan sebagai mandatori untuk diuji di bawah kriteria pematuhan standard bagi memastikan keupayaannya dalam mengelakkan kecederaan parah kepada penumpang kanak-kanak sekiranya berlakunya kemalangan jalan raya.

“Ini merupakan manifestasi kesungguhan Kerajaan dalam usaha merealisasikan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2014 – 2020 dengan sasaran untuk menstabilkan dan seterusnya mengurangkan jangkaan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya sebanyak 50% menjelang tahun 2020 di Malaysia,” ujar Loke.

Majlis Pelancaran Buku Garis Panduan Pematuhan Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak di Malaysia yang dirasmikan serentak dengan Minggu Keselamatan Kenderaan 2019 adalah anjuran Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dengan usaha sama Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP), dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut dihadiri oleh Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dan Menteri Pengangkutan Malaysia, Loke Siew Fook.

-KN

Tinggalkan komen anda