Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Generasi Muda Harus ada Semangat Kekitaan, Bertanggungjawab, Berani dan Lakukan yang Terbaik

By 26 Oktober 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Genda Sating/Parno Salamat (Kuching)

KUCHING, 26 Okt (Malaysiaaktif) – Generasi muda haruslah mempunyai semangat kekitaan, bertanggungjawab, berani dan harus melakukan yang terbaik dalam apa jua perkara yang dilakukan.

Ahli Parlimen P.195 Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata demikian semasa menyempurnakan Program “Apa Kata Anak Malaysia” 2019 di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang di sini, pagi tadi.

Dr Kelvin semasa berucap menyempurnakan Program AKAM 2019

Dr Kelvin semasa berucap menyempurnakan Program AKAM 2019

Ujar beliau, perkara ini amat penting kerana generasi muda bukan sahaja bakal menjadi pemimpin pada masa hadapan malah merupakan pemimpin pada masa kini.

“Malaysia itu kita punya, Sarawak itu pun kita punya. Oleh sebab itu, kita semua tanpa mengira bangsa, agama dan kelas sosio-ekonomi mempunyai peranan dan tanggungjawab serta pandangan untuk membina negara”,

Ali (tengah) menyampaikan cenderamata kepada salah seorang ahli panel, Marilyn Kunn (kanan)

Ali (tengah) menyampaikan cenderamata kepada salah seorang ahli panel, Marilyn Kunn (kanan)

“Marilah tetapkan naratif kita dan ambil tanggungjawab terhadap negara, di mana kita boleh adil dan baik dengan semua orang dan menolak perkara-perkara negatif dan menyebar serta membentuk sesuatu yang baik kerana ia bermula dengan diri kita sendiri”, ujar beliau lagi.

Terdahulu ketika berucap di majlis yang sama, Timbalan Pengarah Penerangan Malaysia Sarawak, Ali Suhaili berkata program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak ini disediakan khusus untuk generasi baharu dalam memupuk minda dan semangat pelajar untuk menjadi seorang insan berjiwa patriotik kenegaraan Sayangi Malaysiaku agar terus menjunjung daulat Negara Malaysia yang dicintai.

Tambah beliau, sejak kebelakangan ini ramai dalam kalangan generasi baharu menggunakan media sosial sebagai platform untuk mengemukakan isu-isu yang bertentangan dengan norma-norma masyarakat.

Beliau yang juga mewakili Pengarah Penerangan Negeri Sarawak turut menegaskan media sosial boleh menjadi platform yang amat berguna bagi menyampaikan pandangan sekiranya isu-isu yang dikemukakan disampaikan dalam cara yang lebih berhemah, beradab dan tertib.

Tetamu kenamaan merakam gambar kenangan bersama para peserta forum dan para hadirin

Tetamu kenamaan merakam gambar kenangan bersama para peserta forum dan para hadirin

Program Apa Kata Anak Malaysia (AKAM) 2019 merupakan satu aktiviti dan pendekatan berbentuk forum ilmiah melibatkan penyertaan pelajar dari institut pengajian tinggi awam dan swasta anjuran Jabatan Penerangan Negeri Sarawak.

Antara objektif program ini ialah untuk menilai corak pemikiran generasi muda dengan melihat sejauh mana pandangan, harapan dan keyakinan terhadap halatuju kepimpinan negara untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Ia juga untuk memupuk semangat patriotisme dan jati diri terhadap negara dalam diri generasi muda serta bagi menyemai dan meningkatkan jati diri generasi muda supaya cintakan negara dan keamanan.

Selain itu ia juga untuk melahirkan generasi muda yang bertanggungjawab sebagai warga negara dan melahirkan komunikator pelapis muda yang berkaliber.

Seramai empat orang belia dipilih sebagai ahli panel dalam forum kali ini iaitu, Eswaran A/L Madiahlagan, 22 tahun daripada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Joyce Tiong En Ning, 21 tahun dan Mohd Redzwan Abdul Majid, 22 tahun daripada IPG Kampus Batu Lintang serta Marilyn Kunn Minggat, 21 tahun daripada Universiti Swinburne.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media Siber Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak, Sri Kestury Mohammed Zamhari telah bertindak sebagai moderator dalam forum ini.

Hadir sama, Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang Jamiran Salam dan Penolong Pengurus Pos Negeri Sarawak Baing Kian dan para pelajar daripada institut pengajian tinggi awam dan swasta sekitar Kuching dan Samarahan.

Tinggalkan komen anda