Laporan / foto: Mohd Faizal Mat Akhir (Seberang Perai Selatan)
SUNGAI BAKAP, 22 Okt (Malaysiaaktif) – Demam denggi merupakan penyakit yang sangat berbahaya. Justeru itu, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Duri memandang serius tentang isu ini dengan mengadakan Program Gotong Royong Perdana Basmi Aedes di Kampung Sungai Duri baru-baru ini.
Program anjuran MPKK Sungai Duri dengan kerjasama Pejabat ADUN Sungai Bakap dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah mendapat sambutan yang baik oleh penduduk kampung. Ramai penduduk kampung turun bersama bagi membersihkan kawasan kampung.
Bagi mengurangkan penularan penyakit demam denggi, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang terus mempergiatkan usaha bagi memastikan kawasan-kawasan yang diklasifikasikan sebagai kawasan “hot spot” atau yang berpotensi menjadi kawasan wabak supaya terus diberi perhatian dan ditangani dengan cepat dari terus membiarkan ianya tidak terus merebak.
ADUN Sungai Bakap, Dr. Amar Pritpal dalam ucapannya menasihatkan masyarakat setempat untuk lebih peka terhadap persekitaran tempat mereka tinggal dengan memastikan bahawa tempat-tempat berpotensi menjadi pembiakan nyamuk aedes dimusnahkan. “Selain itu mereka juga perlu memastikan juga sistem saliran perparitan berada dalam keadaan yang sempurna”, katanya lagi.
Antara aktiviti yang dijalankan pada hari tersebut ialah pembersihan longgokan sampah, pemeriksaan takungan air rumah ke rumah, pengalihan kereta terbiar dan membersihkan saluran parit yang tersumbat.
-II-