Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

Belanjawan 2020 Mesra Wanita

By 22 Oktober 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/ foto:  Haniza Harun/ Nur Fariza Farnoh (Melaka)

MELAKA TENGAH, 22 Okt (Malaysiaaktif) – “Dalam Pembentangan Belanjawan 2020 bertemakan ‘Kemakmuran Bersama: Menjana Pertumbuhan Inklusif yang Berkualiti ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi’ kita menerima khabar gembira dengan peruntukan mesra wanita yang akan disalurkan pada tahun hadapan,” ujar Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail semasa merasmikan Program Santuni Rakyat Peringkat Negeri Melaka di KIPMall Bachang,  Sabtu lalu.

“Kerajaan bertindak agresif untuk menggalakkan penyertaan wanita dalam pasaran buruh dengan perancangan menyediakan 33 ribu peluang pekerjaan bagi wanita berusia 30 hingga 50 tahun yang telah berhenti kerja selama setahun atau lebih.

“Wanita yang kembali bekerja akan menerima insentif selama dua tahun sebanyak RM500 sebulan, manakala majikan pula akan diberi insentif sebanyak RM300 sebulan bagi tempoh yang sama.

“Selain itu, Kerajaan juga akan menyediakan Skim Jaminan Pinjaman Perniagaan (SJPP) berbentuk kemudahan jaminan baharu sebanyak RM500 juta khusus untuk usahawan wanita.

“Pada tahun hadapan, Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia (SME Bank) akan menyediakan tawaran pembiayaan sehingga RM1 juta bagi setiap Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM200 juta, khusus untuk Wanita,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Datuk Ginie Lim Siew Lin, Exco Wanita, Kebajikan dan Pembangunan Luar Bandar mewakili YAB Ketua Menteri Melaka, Dalilah Awaludin, Pengerusi Badan Pertubuhan Amal Isteri Wakil-wakil Rakyat Pakatan Harapan Melaka (HARWANIS) dan Datuk Wira Omar Jaafar, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka.

Sesi bergambar bersama semua yang hadir menjayakan Program Santuni Rakyat Peringkat Negeri Melaka.

Sesi bergambar bersama semua yang hadir menjayakan Program Santuni Rakyat Peringkat Negeri Melaka.

Tinggalkan komen anda