
Laporan/foto: Sahiman Rahman (Tenom)
TENOM, 19 Okt (Malaysiaaktif) – Hentikan budaya “Sate” tapi ikut budaya semut kalau ingin membina dan mencapai kemajuan diri dan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri N.36 Kemabong, Jamawi Jaafar, berkata demikian ketika merasmikan kursus lawatan sambil belajar fasa pertama selama dua hari yang melibatkan seramai 30 orang peserta terdiri daripada ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi kawasan N.36 Kemabong, pada Sabtu.
“Perubahan minda, sikap dan budaya mesti ada pada pemimpin masyarakat dan rakyat untuk meraih kejayaan dan kemajuan supaya terhindar dari kemelut kemunduran, kejahilan dan kemiskinan dari segala aspek dalam kehidupan.
“Kerajaan komited membela dan membantu untuk memajukan rakyat namun segala usaha tersebut hanya akan sia-sia sekiranya rakyat tidak bersatu padu serta masih mengamalkan budaya sate yakni sikap mementingkan diri, hasad dengki dan suka menghasut serta tiada kerjasama sesama bangsa,”ujarnya.
Beliau turut mengingatkan MPKK supaya memainkan peranan yang proaktif demi kemajuan di kawasan masing-masing.
“Contoh terbaik ialah Kampung Marais Center dan Rundum Highlands yang kini beroleh kejayaan dengan meraih pendapatan yang lumayan melalui pelancongan.
“Semua ini adalah usaha mereka sendiri hasil daripada perpaduan dan kerjasama antara MPKK dan penduduknya, oleh sebab itu saya memilih dua buah kampung tersebut sebagai lokasi kursus pada hari ini,” jelasnya.
Jamawi berkata, antara lain objektif kursus lawatan sambil belajar ini diadakan ialah memberi pendedahan dan perkongsian minda kepada Pengerusi MPKK tentang Kemajuan Pelancongan dalam Komuniti, Menerapkan Nilai Kerjasama dalam sesuatu Komuniti setempat serta memperkenalkan “Satu MPKK Satu Produk”untuk setiap Kampung.
Kursus tersebut melibatkan tujuh kumpulan MPKK yang telah dibahagikan melalui mukim daripada 57 MPKK di kawasan N.36 Kemabong.
Setiap MPKK akan membawa 4 orang di dalam Biro yang pelaksanaannya pada setiap minggu iaitu hari sabtu dan ahad bermula hari ini sehingga 1 Disember 2019.
Hadir sama, Penyelia UPPM N.36 Kemabong, Herbert Roger; Isteri kepada Adun N.36 Kemabong, Zainatunnisa Ibrahim serta pemimpin masyarakat Marais Center.
ER