Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPerak

KRT Asas Transformasi Perpaduan Penduduk

By 19 Oktober 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin (Kinta)

MERU, 19 Okt (Malaysiaaktif) – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) perlu menggerakkan inisiatif yang komprehensif dalam memperkasakan program-program yang bermanfaat bagi penduduk setempat.

Menurut Pegawai Khas Satu Parlimen Tambun Badrul Halim Abdul Wahab, apabila KRT di sesebuah kawasan itu aktif, maka dapat dilihat masyarakat sekitarnya akan hidup harmoni tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan.

“Usaha kerajaan dalam menyantuni segenap masyarakat baik di bandar mahupun di luar bandar sentiasa dilakukan dari masa ke masa bagi memenuhi keperluan di sesebuah komuniti.

“Pemberian kemudahan dewan terbuka kepada seluruh KRT di Perak ini akan mengambil masa yang panjang dan menelan kos yang besar, namun keupayaan integrasi dan mengoptimumkan kemudahan yang tersedia ini merupakan kaedah terbaik dalam memenuhi keperluan masyarakat setempat khususnya dan orang lain amnya,” katanya yang mewakili Menteri Besar Perak dalam majlis Perasmian Dewan Azumu Impian Meru di sini hari ini.

Badrul berharap dewan yang telah siap dibina pada tanggal Mac tahun ini dengan kos sebanyak RM230,000.00 dapat digunakan semaksimum mungkin bagi memberi faedah kepada lebih 800 ribu penduduk di daerah Kinta ini.

“Daerah Kinta memiliki kepadatan penduduk yang tinggi berbanding penduduk di daerah lain jadi besarlah harapan saya agar ia dapat dimanfaat sebaik mungkin kepada semua penduduk di sini,” katanya lagi.

Penduduk, Azizi Zam berkata dengan adanya Dewan Azumu Impian Meru di sini, penduduk sekitar boleh memanfaat pembinaan dewan ini dengan aktiviti-aktiviti yang dapat mengukuhkan lagi agenda perpaduan nasional seperti kenduri kahwin, pertandingan sukan, majlis ramah mesra dan sebagainya.

Turut hadir Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Perak Abdul Hadi Mohd Salleh, Pengerusi KRT Halaman Meru Impian Mohd Soffy Abdul Rahman, Penghulu Mukim Chemor Ahmad Baharul Shahrudin, ketua-ketua jabatan dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Mukim Chemor.

-SH

Tinggalkan komen anda