
Laporan/foto : Jamilah Sulaiman Nasution (Seremban)
SEREMBAN, 21 Okt (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Sembilan melalui JobsMalaysia Negeri Sembilan sentiasa komited untuk membantu rakyat di negeri ini secara umum untuk mendapatkan pekerjaan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, Arul Kumar Jambunathan kerajaan telah menyediakan platform pencarian pekerjaan secara percuma iaitu melalui portal www.jobsmalaysia.gov.my.
“Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh JobsMalaysia, sehingga September 2019 sebanyak lebih 31 ribu kekosongan jawatan telah didaftarkan di dalam portal tersebut, manakala seramai lebih 9 ribu orang pencari kerja telah dibantu untuk mendapatkan pekerjaan melalui temuduga terbuka di Pusat JobsMalaysia Negeri Sembilan,” ujarnya ketika berucap di Majlis Perasmian Karnival Kerjaya dan Pendidikan Pengangkutan 2019 yang berlangsung di sini.
Portal tersebut bukan sahaja percuma kepada pencari kerja, malahan majikan juga boleh menggunakan portal ini secara percuma untuk mendapatkan calon-calon yang sesuai.
Dalam pada itu, Khairunnisa Zainuddin, graduan Universiti Sains Malaysia (USM) yang menetap di Seremban berkata karnival ini merupakan peluang terbaik untuk mendapatkan pekerjaan.
“Orang ramai terutamanya pencari kerja tidak seharusnya melepaskan peluang keemasan ini untuk turut serta dalam karnival ini di mana lebih 40 majikan disatukan bawah satu bumbung,” katanya.
-AK