Laporan/foto: Fauziah Abdullah (Seremban)
SEREMBAN, 21 Okt (Malaysiaaktif) – Bulan Sukan Negara (BSN) merupakan kesinambungan daripada program Hari Sukan Negara (HSN) yang ditambah baik perlaksanaannya bagi menuju matlamat negara bersukan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyeru supaya aktiviti bersukan dan beriadah dijadikan sebagai satu amalan dan gaya hidup setiap individu tanpa mengira peringkat umur, bangsa mahupun agama.
“Melalui Sambutan Bulan Sukan Negara Peringkat Negeri Sembilan pada hari ini, besarlah harapan saya agar ianya menjadi satu permulaan amalan gaya hidup sihat kepada seluruh masyarakat khususnya di Negeri Sembilan ini.
“Sukan merupakan bidang yang memupuk semangat patriotik, masyarakat berdisiplin, berdaya saing, perpaduan dan integrasi nasional di samping peningkatan gaya hidup sihat,” katanya.
Tambah Aminuddin lagi, dalam merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara maju, gerakan ke arah membudayakan sukan dalam kalangan rakyat Malaysia adalah perlu dititikberatkan.
Turut hadir ke Majlis Sambutan Bulan Sukan Negara 2019 Peringkat Negeri Sembilan di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan Mohamad Taufek Abd Ghani serta Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.
-AK