Laporan/foto : Nurulaini Mohd Kasran/Shahqrul Azim Shaari (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI 1 Okt ( Malaysiaaktif ) – Keunikan Malaysia yang mempunyai kepelbagaian kaum, agama dan budaya menjadi satu tarikan kepada guru dan penuntut daripada Lalaji International Omega School, Chennai India, untuk mengadakan lawatan sambil belajar ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Telor, Kota Tinggi, baru-baru ini.
Pelbagai aktiviti telah disusun bagi menyambut kedatangan mereka, antaranya persembahan medley lagu-lagu tempatan dari Kumpulan Ukulele SK Bukit Mahkota, persembahan tarian zapin daripada SK Felda Air Tawar 3, dan demonstrasi membuat lempeng oleh SK Sungai Telor yang turut disertai oleh para pelajar dari India ini.
Salah seorang peserta yang ditemui, Shreya Raghavan, 13, berkata beliau berasa amat teruja berkunjung ke Malaysia dan negeri Johor kerana dapat melihat sendiri budaya masyarakat tempatan.
“Layanan yang diberikan kepada kami sangat mesra dan membuatkan kami seperti berada di negara sendiri dan saya juga turut berpeluang mencuba permainan tradisional seperti congkak, batu seremban, ting-ting dan cap teh dan ianya merupakan satu pengalaman yang baru,” katanya.
Seorang lagi peserta yang ditemui Tvisha Gaur, 14, pula menyatakan pengalaman berkunjung ke negeri Johor merupakan satu pengalaman yang amat bermakna kerana di sini beliau dapat melihat masyarakat pelbagai kaum yang sangat harmoni serta merasai pelbagai jenis makanan tempatan yang sangat lazat.
“Hari ini merupakan hari kelima saya berada di Malaysia setelah menjelajah ke beberapa buah negeri seperti Pahang, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan dan saya teruja melihat masyarakat di sini yang terdiri dari pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina dan India hidup bertoleransi antara satu sama lain,” ujarnya.
“Selain itu, sepanjang beberapa hari berada di sini kami telah mencuba pelbagai jenis makanan seperti nasi lemak dan roti canai yang sangat sedap,” tambahnya lagi.
Sementara itu, para peserta dari India ini turut mempamerkan bakat mereka dengan membuat persembahan nyanyian dan juga tarian serta turut mempelawa guru dan pelajar dari SK Sungai Telor untuk bersama-sama mencuba tarian tersebut.
Lawatan Pendidikan Antarabangsa ini akan diteruskan ke destinasi berikutnya iaitu Singapura.
Turut hadir, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Tinggi Zayadi Hassan dan Penghulu Mukim Ulu Sungai Johor Azmir Mad Razuki.
-NI-