Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

Program Jalinan Kasih Pupuk Nilai Murni Pelajar

By 1 Oktober 2019Oktober 3rd, 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Siti Noorezrin Mahmod/Shazira Yahya (Jempol)

JEMPOL, 1 Okt (Malaysiaaktif) – Kolej Komuniti Jempol (KKJ) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Sembilan dan Melaka telah menganjurkan Program Jalinan Kasih Kolej Komuniti Jempol dan Pemasyhuran Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Lui, Sabtu lalu.

Program dibawah kelolaan KKJ ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah Mohamad Nazaruddin Sabtu.

Dalam program tersebut, KKJ mengambil peranan dalam memenuhi tanggungjawab sosial bersama masyarakat di perkampungan tersebut melalui aktiviti khidmat masyarakat antaranya ialah aktiviti gotong-royong kebersihan dan keceriaan, hiasan landskap, pendawaian elektrik dan servis asas motosikal.

Pengarah Program, Mohd Saiful Sobrie Selamat, berkata aktiviti yang berlangsung selama seminggu itu telah dikendalikan secara keseluruhannya oleh para pelajar dan penyarah kolej sendiri.

“Penglibatan secara aktif dalam aktiviti sukarelawan sebegini juga secara tidak langsung dapat memberi kesan terhadap prestasi kecemerlangan akademik para pelajar,” katanya ketika ditemui di sini.

WhatsApp Image 2019-09-30 at 17.31.33

Pameran pendawaian elektrik oleh pelajar kolej.

Menurut wakil pelajar KKJ, Muhammad Ammir Zainudin, program ini memberi manfaat dah ilmu pengetahuan yang banyak buat para pelajar.

“Program ini bukan sahaja memupuk sifat kerjasama antara kami malah kami juga dapat melihat dan merasai sendiri budaya masyarakat orang asli yang unik,” kata pelajar jurusan Teknologi Elektrik itu.

Dalam pada itu, bagi mengetengahkan budaya masyarakat orang asli, turut diraikan ‘Pemasyhuran Tok Batin’ Kampung Orang Asli Sungai Lui iaitu Tok Batin Ibrahim Pu yang telah dilantik dan dipersetujui oleh masyarakat disana.

Institusi Tok Batin Orang Asli adalah merupakan pentadbiran sesebuah kampung yang berbentuk hierarki yang telah diwarisi sejak zaman dahulu lagi.

Disamping itu, turut diadakan pameran serta penerangan mengenai Kolej Komuniti, pemeriksaan kesihatan, serta pelbagai lagi aktiviti yang bermanfaat untuk komuniti setempat.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Haji Mohamad Amin Hamat, Pegawai Daerah Jempol Mas Midyawan Yahya, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jempol  Raja Norazli Raja Nordin serta ketua-ketua komuniti setempat yang lain.

-AK

Tinggalkan komen anda