
Laporan/foto: Hazlinah Samsir/ Johnny Joklis & Marusin Minuddin (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 26 Okt (Malaysiaaktif) – Program tahunan, Media Engagement Bersama Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah merupakan platform untuk para pengamal media bertukar pandangan dan berkongsi maklumat.
Pengarahnya, Norzawiyah Bulka berkata program sempena sambutan Bulan Sukan Negara (BSN) itu juga dapat memberi ruang kepada rakan strategik jabatan itu untuk mendapatkan maklum balas mengenai perkhidmatan yang diberikan.
“Dengan jaringan perhubungan yang kukuh, kita berharap kerjasama dalam penyampaian maklumat dan dasar kerajaan kepada masyarakat akar umbi dapat diperkasakan lagi.
“Pertandingan boling ini adalah sempena dengan sambutan Bulan Sukan Negara pada 1 Oktober lalu dengan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara sukan menjelang tahun 2020,” ujarnya pada Jumaat malam.

Wartawan Borneo Today, Suraidah Roslan (dua dari kanan) bersama ahli kumpulannya yang terdiri daripada Pegawai Penerangan Kota Kinabalu, Peter Tong (kanan), Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu, Zulhanin Hasni (kiri) serta wakil Astro Awani, Alexion Mairin (dua dari kiri)
Pertandingan boling yang disertai lebih 50 pengamal media daripada pelbagai agensi media serta pegawai perhubungan awam itu turut dihadiri Presiden Pesatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Mugutan Vanar; Presiden Kota Kinabalu Journalist Association (KKJA), Yong Ted Phin, Ketua Biro Bernama Sabah, Haslin Gaffor dan Setiausaha Akhbar Kepada Ketua Menteri Sabah, Collin Nicholas.

Norzawiyah (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada kumpulan yang mempunyai jatuhan pin terbanyak yang diketuai Ketua Penolong Pengarah Komunikasi Visual dan Seni Reka, Razif Chek Hashim.
Pada program tersebut, Norzawiyah turut menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori kumpulan terbaik dengan jatuhan pin terbanyak, Anugerah Kumpulan Paling Meriah, Anugerah Media Paling Semangat dan Anugerah Individu.
ER