Laporan/foto: Hazlinah Samsir/ Johnny Joklis & Marusin Minuddin (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 26 Okt (Malaysiaaktif) – Program tahunan, Media Engagement Bersama Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah merupakan platform untuk para pengamal media bertukar pandangan dan berkongsi maklumat.
Pengarahnya, Norzawiyah Bulka berkata program sempena sambutan Bulan Sukan Negara (BSN) itu juga dapat memberi ruang kepada rakan strategik jabatan itu untuk mendapatkan maklum balas mengenai perkhidmatan yang diberikan.
“Dengan jaringan perhubungan yang kukuh, kita berharap kerjasama dalam penyampaian maklumat dan dasar kerajaan kepada masyarakat akar umbi dapat diperkasakan lagi.
“Pertandingan boling ini adalah sempena dengan sambutan Bulan Sukan Negara pada 1 Oktober lalu dengan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara sukan menjelang tahun 2020,” ujarnya pada Jumaat malam.
Pertandingan boling yang disertai lebih 50 pengamal media daripada pelbagai agensi media serta pegawai perhubungan awam itu turut dihadiri Presiden Pesatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Mugutan Vanar; Presiden Kota Kinabalu Journalist Association (KKJA), Yong Ted Phin, Ketua Biro Bernama Sabah, Haslin Gaffor dan Setiausaha Akhbar Kepada Ketua Menteri Sabah, Collin Nicholas.
Pada program tersebut, Norzawiyah turut menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori kumpulan terbaik dengan jatuhan pin terbanyak, Anugerah Kumpulan Paling Meriah, Anugerah Media Paling Semangat dan Anugerah Individu.
ER