
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 1 Okt (Malaysiaaktif) – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Cawangan Labuan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) mengadakan Program Wacana Fatwa Muamalat Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2019 bagi meningkatkan kefahaman mengenai hukum-hukum muamalat Islam dalam kalangan masyarakat di sini.
Menurut Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan Hashim Salleh, program ini bertindak sebagai forum bagi masyarakat awam mendapat maklumat berhubung isu-isu muamalat semasa di Wilayah Persekutuan Labuan dan negara ini amnya.
âKita membincangkan tajuk-tajuk terpilih berkaitan isu-isu muamalat yang relevan serta berkongsi ilmu dan pengalaman dalam mencari penyelesaian terhadap isu-isu tersebut,â katanya semasa merasmikan program tersebut di Dewan Theatrette, UMSKAL baru-baru ini.
Hashim menyeru peserta untuk menggunakan khidmat kewangan Islam yang mempunyai pelbagai pilihan dari segi produk perbankan dan takaful yang jelas bersih daripada unsur-unsur riba dan memenuhi tuntutan syariah.
Sementara itu, wakil Pengarah UMSKAL Dr Nurashikin Muda, mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Mufti yang sudi bekerjasama mengadakan program tersebut yang turut memberi manfaat kepada mahasiswa dan kakitangan UMSKAL.
âPihak UMSKAL amat mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai pihak untuk mengadakan program yang memberi manfaat kepada mahasiswa dan kakitangan universiti ini,â katanya lagi.
Pada program itu tiga kertas kerja dibentangkan dengan kehadiran seramai 400 orang peserta terdiri daripada kakitangan jabatan dan agensi kerajaan, jawatankuasa masjid, kakitangan dan pelajar UMSKAL.
-SH