Laporan/foto: Aishah Omar (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 01 Okt (Malaysiaaktif) – Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd. Pengendali tempatan McDonald’s Malaysia merupakan penerima pertama Sijil Pembayar Zakat Korporat daripada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) setelah PPZ-MAIWP mengeluarkan sijil akuan tersebut kepada syarikat-syarikat peniagaan di Malaysia yang mengeluarkan zakat korporat masing-masing.
Sijil ini telah disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dan akan dipamerkan di lebih 40 restoran McDonald’s di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Mujahid menjelaskan dengan adanya sijil zakat ini secara tidak langsung memberi pencerahan kepada pengguna mengenai urus niaga syarikat bagi memudahkan mereka membuat keputusan yang lebih baik ke atas kedai atau premis perniagaan yang dikunjungi.
“Sijil Pembayar Zakat Korporat ini dilihat memberi nilai tambah kepada Pensijilan Halal sedia ada yang dimiliki syarikat, di mana ia bertujuan meningkatkan keyakinan pengguna terhadap pilihan mereka setiap hari.
“Saya gembira PPZ-MAIWP mengambil inisiatif untuk memperkenalkan pensijilan ini dan tidak mustahil usaha ini akan diikuti oleh pihak berkuasa zakat di negeri-negeri lain di Malaysia, dan lebih membanggakan jenama global seperti McDonald’s Malaysia sangat menyokong dan komited terhadap kewajipan berzakat,” katanya ketika Majlis Penyerahan Zakat Korporat, di sini hari ini.
Mujahid turut berharap melalui sijil ini akan dapat menggalakkan lebih banyak syarikat perniagaan untuk membayar zakat. Matlamat mengutip zakat sebanyak RM1 bilion pada tahun 2023 diharap akan dapat dicapai dengan bebarapa langkah yang sedang disusun dari masa ke masa.
Sementara itu Pengarah Kanan Sumber Manusia Pentadbiran Hal Ehwal Halal dan Latihan McDonald’s Malaysia Azhar Darbi, syarikat ini juga bekerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) untuk terus mendukung komitmen halalnya kepada para pengguna dalam semua aspek peniagaan.
“McDonald’s Malaysia terlibat secara aktif dalam pelbagai program Halal termasuk Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), HALFEST dan Sidang Kemuncak Halal Dunia dan komited dalam menggalakkan golongan belia khususnya keluarga asnaf untuk menjalani Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) McDonald’s.
“Sehingga kini pihak syarikat telah membiayai 30 anak asnaf untuk menjalani SLDN McDonald’s yang melibatkan latihan secara praktikal dan terori selama 18 bulan. McDonald’s Malaysia turut memperkenalkan Program Perantisan Pengurusan yang menyasarkan golongan belia lepasan universiti dalam kategori B40 untuk memulakan kerjaya di McDonald’s sebaik tamat pengajian,” katanya.
Dalam pada itu, McDonald’s Malaysia telah mengeluarkan zakat korporat berjumlah RM1.4 juta bagi tahun 2019 dan jumlah tersebut akan diagihkan secara sama rata ke semua 14 negeri termasuk Wilayah Persekutuan yang akan disalurkan kepada PPZ-MAIWP.
-SH