Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 1 Okt (Malaysiaaktif) – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.165 Tanjung Piai ditetapkan pada 16 November ini berhubung kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya pada 21 September lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui Pengerusinya Datuk Azhar Azizan Harun, menjelaskan hari penamaan calon adalah pada 2 November manakala hari mengundi awal adalah pada 12 November.
“SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi pada hari berkenaan dan berharap kepada pihak media dan parti-parti politik untuk menggalakkan pengundi keluar mengundi,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan, di sini hari ini.
Azhar menjelaskan SPR turut melakukan penambahbaikan dalam PRK kali ini di mana tambahan dua saluran khusus bagi pengundi berusia 60 tahun ke atas akan dilakukan serta penambahan saluran mengundi.
“Sebanyak 127 saluran akan disediakan dengan sebanyak 28 buah pusat mengundi akan digunakan bagi tujuan tersebut, dan SPR turut memperuntukan sebanyak RM2.67 juta bagi melaksanakan PRK ini dengan penglibatan seramai 1019 petugas.
“Seramai 52,986 pengundi telah direkodkan dalam Daftar Pemilih yang telah dikemaskini sehingga 23 September lalu, dan seramai 52,698 pengundi biasa, 280 pengundi awal dan lapan Pengundi Tidak hadir (PTH) Luar Negara telah direkodkan,” tambahnya.
PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan ekoran kematian wakil rakyatnya, Allahyarham Datuk Wira Dr. Md Farid Md Rafik 21 September lalu akibat komplikasi jantung.
Mulai 16 Oktober ini, para pengundi boleh membuat semakan Daftar Pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan melalui laman sesawang www.spr.gov.my atau melalui aplikasi MySPR Semak.