Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanRencana & Pendapat

Perahu Masih Jadi Pilihan Penduduk

By 18 Oktober 2019Tiada komen4 minit bacaan

Laporan/foto: Luhat Ajang (Sarawak)

BARAM, 18 Okt 2019 (Malaysiaaktif) – Pada ketika dahulu, kebanyakan penempatan manusia terletak di pinggir laut atau sungai. Ini disebabkan manusia amat memerlukan air untuk kegunaan harian dan bercucuk tanam. Tidak harianlah sungai dan laut dijadikan jalan perhubungan yang dikenali sebagai jalan air.

Selari dengan kepesatan penduduk yang kian bertambah dan memerlukan penempatan baharu, manusiapun mulai meneroka jauh ke daratan.

Begitu jugalah halnya yang berlaku kepada penduduk di pedalaman Sarawak khasnya di Baram dan daerah – daerah lain seluruh Sarawak.

Kini kebanyakan perkampungan ataupun penempatan boleh dihubungi dengan menggunakan pengangkutan darat walaupun tidak seselesa berbanding sesetengah tempat yang berdekatan dengan pekan ataupun bandar.

Jalan darat yang mencabar dan hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda

Jalan darat yang mencabar dan hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda

Lama kelamaan penggunaan perahu khasnya pengangkutan air ini kian berkurangan walaupun sesetengah tempat masih memerlukannya.

Penduduk mulai meneroka hutan dan tanah di sepanjang sungai. Hidupan sungai seperti ikan dan sebagainya yang menjadi makanan harian di samping nasi mendorong penduduk membina bot mahupun perahu untuk kegunaan harian.

Perahu kian penting bagi penduduk untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain selain mengangkut hasil tangkapan dan buruan. Berbagai saiz dibuat bergantung keperluan dan kehendak masing – masing.

Kayu yang banyak, sesuai dan senang didapati suatu ketika dahulu membolehkan penduduk membina perahu untuk keperluan harian.

Kalau dahulu peralatan membuat perahu agak terhad tetapi kini banyak peralatan moden senang didapati dari pekan berhampiran menyebabkan proses membuat perahu kian mudah dan cepat.

Baram Regatta yang sering dianjurkan di Marudi dalam daerah Baram saban tahun telah mengumpulkan masyarakat sekitar dan penduduk dari kampung baik jauh mahupun dekat dalam sukan air yang popular iaitu perlumbaan perahu panjang dan sebagainya.

Pesta ataupun Baram Regatta yang dianjurkan ini telah dijadikan wadah menyatukan masyarakat yang berbilang kaum dan anutan agama khasnya di daerah Baram dan sekitarnya.

Taman Laing Wan mahir membuat perahu dan masih banyak mendapat tempahan hingga hari ini

Taman Laing Wan mahir membuat perahu dan masih banyak mendapat tempahan hingga hari ini

Masing – masing membawa perahu dengan para pendayung terbaik seterusnya mengangkat nama baik kampung mahupun komuniti masing – masing dengan menjuarai acara perlumbaan. Bagi mendapat keputusan yang baik, para pembuat perahu akan sedaya upaya membuat perahu yang tercantik dan terpantas dalam perlumbaan kelak.

Salah sebuah kampung masyarakat etnik Kayan dalam DUN Mulu iaitu Kampung Long Panai, Tutoh masih bergantung kepada penggunaan perahu untuk aktiviti harian khasnya mencari rezeki.

Kampung yang dibina di tebing Sungai Tutoh dan digelar Uma Beluvuh ini terletak lebih kurang 70 km dari pekan Marudi dan mengambil masa dua hingga tiga jam bergantung kepada keadaan cuaca dan keadaan jalan dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Suatu ketika dahulu pengangkutan air iaitu bot ekspress merupakan suatu kaedah pengangkutan bagi penduduk kampung untuk pergi ke pekan Marudi dan seterusnya ke Miri. Keadaan sungai Tutoh dan Baram yang bengkang bengkok serta panjang menjadikan perjalanannya mengambil masa tiga hingga empat jam untuk sampai ke Marudi.

Kini, khidmat bot ekspress ini kian berkurangan dan hampir dilupakan walaupun pada hakikatnya ianya masih lagi diperlukan khasnya untuk mengangkut bahan – bahan konkrit serta besar untuk tujuan pembinaan dan boleh membawa penumpang dengan jumlah yang ramai.

Lasah menunjukkan ikan tapah yang berjaya di tangkap beliau

Lasah menunjukkan ikan tapah yang berjaya di tangkap beliau

Tak dapat dipastikan sebab – sebab perkhidamatan ini ditamatkan walaupun sekali sekala masih diperlukan terutamanya menjelang perayaan Hari Natal di mana penduduk kampung akan menyewa bot ini.

Para peniaga Cina khasnya dari pekan Marudi juga sering datang membawa barangan runcit dan jualan mereka ke kampung – kampung di sepanjang sungai hinggalah jauh ke pedalaman. Dari bot kayu, kini ianya telah diganti dengan bot yang diperbuat daripada besi dan tahan lama.

Perahu juga sering digunakan oleh ibu bapa pelajar – pelajar dari kampung – kampung berdekatan untuk menghantar anak mereka ke SMK Tutoh Apoh di Kampung Long Panai yang menyediakan asrama.

Taman Laing Wan, salah seorang penduduk kampung yang menetap di Kampung Long Panai pasrah dengan perubahan yang berlaku. Beliau yang juga seorang yang mahir membuat perahu berharap agar perkhidmatan bot ekpress atau pengangkutan air yang lebih canggih lagi akan beroperasi semula ditambah pula Taman Negara Mulu yang terkenal terletak tidak jauh dari kampung ini.

“Dulu ramai pelancong pergi ke Mulu menggunakan bot ekpress dan perahu panjang melintasi kampung kami sambil menikmati pemandangan sepanjang sungai. Kini pengangkutan udara sudahpun ada iaitu dari Miri atau Marudi terus ke Mulu. Semuanya itu tinggal kenangan sahaja”, kata Taman Laing sambil menaruh harapan agar hutan yang kaya dengan flora dan fauna dibendung penerokaannya.

Sementara itu, Lasah Uloi yang sering melakukan aktiviti menangkap ikan di sungai Tutoh dan anak – anak sungai lainnya turut mengakui betapa pentingnya perahu kepada penduduk kampung.

“Selain digunakan untuk menangkap ikan dan berburu, perahu juga amat berguna memandangkan kampung kami sering dilanda banjir. Waktu itulah perahu amat berguna untuk melakukan aktiviti harian seperti memindahkan penduduk, barangan keperluan dan sebagainya”, tambah Lasah.

Rosita Abd Patah, seorang warga Brunei DS yang kebetulan ditemui bersama –sama rombongan melawat ke kampung ini menggunakan jalan darat berharap agar keadaan jalan diselenggara dan dijaga sebaik – baiknya oleh pihak yang berkenaan.

Beliau juga menyeru agar para pemandu kenderaan mengutamakan keselamatan dan lebih berhati – hati khasnya ketika musim hujan.

“Saya percaya keadaan jalan yang elok akan memendekkan jarak perjalanan dan seterusnya membuka peluang memajukan sektor pelancongan khasnya dalam DUN Mulu ini dan di mana – mana jua”, akui Rosita.

Memang diakui pengangkutan darat kian berkembang pesat dalam era serba maju dan moden ini. Walau bagaimanapun jangan sesekali melupakan tugas ataupun peranan besar yang dimainkan oleh pengangkutan air suatu ketika dahulu.

Apa yang pasti peranannya adalah berbeza ataupun sama bergantung kepada tempat, bagaimana, bila, siapa dan kenapa ianya diperlukan.

Tinggalkan komen anda