Laporan / foto: Nurazreen Bt Abd Rahman (Seberang Perai Utara)
KEPALA BATAS, 11 Okt, (Malaysiaaktif) – Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada tahun ini telah memperolehi memperuntukkan sebanyak RM20 juta dari kerajaan khusus untuk golongan wanita. Sebanyak 3 program telah dikenalpasti untuk diagihkan iaitu melibatkan sejumlah RM11.4 juta bagi Program Subsidi Ujian Mamogram, Program Vaksinasi Human Papilloma Virus percuma (RM5 juta) dan Program Rintis Saringan Kanser Serviks (RM3.6 juta). Program-program ini akan dilaksanakan melalui Klinik Nur Sejahtera LPPKN yang terdapat di seluruh negara.
Dengan inisiatif peruntukkan tersebut, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah melaksanakan Program Saringan Mamogram secara percuma (Mammo Penang) untuk kesejahteraan wanita di negeri ini. Program Mammo Penang ini bermula pada 1 Mac 2019 hingga 28 Feb 2022. Sasaran sebanyak 15,000 wanita diharapkan akan mengambil peluang menjalani pemeriksaan ini dengan sejumlah peruntukan RM2.658 juta telah diluluskan untuk program Mammo Penang bagi tempoh tiga tahun.
Klinik Nur Sejahtera LPPKN Bertam telah mengadakan promosi Mammo Penang di Klinik Kesihatan Kepala Batas pada bulan Oktober yang merupakan bulan kesedaran kanser payudara. Objektif program ini dilaksanakan adalah untuk meningkatkan tahap kesedaran wanita tentang kepentingan pengesanan awal kanser payudara. Ini kerana, Pulau Pinang mencatatkan kadar kes kanser payudara tertinggi dalam kalangan wanita di negara dengan purata 50 kes bagi setiap 100,000 wanita dan diikuti oleh W.P. Kuala Lumpur, W.P. Putrajaya dengan purata 42 kes bagi 100,000 wanita dan Johor purata 39 kes bagi 100,000 wanita.
Menurut Ketua Jururawat Klinik Nur Sejahtera LPPKN Bertam, Rohaya Ismail memberitahu kos sebenar ujian mamogram adalah antara RM200 – RM300 bagi seorang. Menurut beliau lagi, antara syarat kelayakan untuk mendapatkan ujian saringan mamogram secara percuma untuk mengesan kanser payudara adalah wanita tersebut mesti berumur 40 tahun ke atas atau yang berumur antara 35 tahun hingga 39 tahun yang mempunyai risiko tinggi iaitu mempunyai sejarah ahli keluarga pernah mengidap kanser payudara seperti kakak, adik, ibu, ibu saudara dan sebagainya. Selain itu juga, syarat wajib adalah pelanggan mesti bermaustautin di negeri Pulau Pinang iaitu beralamat di Pulau Pinang, katanya ketika ditemui.
Program Subsidi Ujian Mamogram LPPKN menyasarkan 47,000 wanita dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah di seluruh Malaysia akan mendapat manfaat bagi menjalani ujian mamogram tahun ini.
Bagi kaum wanita di Negeri Pulau Pinang, mereka sangat bertuah kerana di samping kuota mammogram sebanyak 1,500 wanita daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Pulau Pinang juga turut bersetuju untuk membiayai tambahan sebanyak 5,000 wanita lagi untuk ujian mammogram percuma yang menjadikan 6,500 wanita mendapat manfaat melalui saringan kanser payudara pada tahun ini.
-II-