Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 11 Okt (Malaysiaaktif) – Bulan Sukan Negara (BSN) mampu merealisasikan hasrat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menjadikan negara ini sebagai negara yang mempunyai rakyat yang sentiasa bersukan.
Menurut Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Seri Amir Hussien, aktiviti sukan menerusi BSN mampu menjadi budaya hidup setiap ahli masyarakat untuk menjaga kecergasan dan kesihatan selain berpotensi untuk dijadikan sebagai satu kerjaya.
“Diharap agar hasrat KBS ini dapat dilaksanakan dalam kalangan masyarakat dan dilakukan secara berterusan dengan konsep yang lebih kontemporari bagi menjamin agenda sukan untuk semua kekal relevan,” katanya semasa merasmikan Majlis Penutupan Program Sukan Bulan Kebangsaan anjuran Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Sub Zon 2 di Kompleks Sukan Labuan, di sini baru-baru ini.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada MPP Sub Zon 2 kerana berjaya menganjurkan pertandingan futsal, petanque, sukaneka kampung dan beberapa pengisian sampingan seperti pertandingan karaoke, mama kebaya, zumba dan pertandingan mewarna.
“Program ini dapat merapatkan hubungan sesama kita dan amat penting untuk kita jalinkan ikatan silaturahim agar sentiasa bersatu hati menerusi aktiviti sukan lebih – lebih lagi di antara penduduk kampung yang berlainan,” katanya lagi.
Hadir sama Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Labuan Mahanum Fauzi, Pengerusi MPP Labuan Simsudin Sidek dan Pengerusi MPP Sub Zon 2 Firdaus@Kim Hock Chun Tuah.
-SH