Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Selangor Rangka Pelan Kawalan Pemantauan Air, Sungai – MB

By 7 Oktober 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 7 Okt (Malaysiaaktif) – Kerajaan Selangor sedang mengerakkan semua agensi berkaitan dalam usaha kawalan pemantauan sungai dan air di negeri tersebut bagi mengelakkan isu pencemaran terus berulang.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata langkah terbaru itu melibatkan agensi terbabit untuk berbincang pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang kawalan termasuk penguatkuasaan undang-undang.

“Agensi seperti Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Air Selangor serta Indah Water Konsortium (IWK) akan berbincang mencari jalan penyelesaian dan tindakan.

“Kita akan lihat semua aspek supaya agensi terbabit tidak bertindak bersendirian menyelesaikan isu air yang akhirnya saling menyalahkan antara satu sama lain, sedangkan pencemaran terus berulang,” katanya.

Jelas Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, langkah tersebut perlu diambil memandangkan keperluan air dan sungai walaupun negeri mencapai kemajuan yang pesat.

“Empat kejadian pencemaran air di Selangor berlaku tahun ini telah menjejaskan jutaan akaun pengguna terganggu.

Para pelajar UIAM bersama Amirudin Shari bergotong royong membersihkan sungai sempena Sambutan Hari Sungai Sedunia peringkat MPS di GISB Ecotourism Resort, Ulu Yam.

Para pelajar UIAM bersama Amirudin Shari bergotong royong membersihkan sungai sempena Sambutan Hari Sungai Sedunia peringkat MPS di GISB Ecotourism Resort, Ulu Yam.

“Ia adalah peringatan kepada kita dan saya seru semua pihak bersama kerajaan negeri memastikan penjagaan alam sekitar sentiasa terpelihara,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia peringkat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di GISB Ecotourism Resort, Ulu Yam, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua (YDP) MPS, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor; Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan Pengarah Pengurusan Lembangan Sungai JPS Malaysia, Md Khairi Selamat.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata kerajaan negeri juga sedang meneliti untuk meningkatkan jumlah kompaun kepada pihak yang dikesan menyebabkan pencemaran sungai di Selangor.

“Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli serta Pegawai Undang-undang Selangor sedang meneliti sama ada ianya akan dilaksanakan di peringkat negeri atau keperluan memperkuatkan undang-undang peringkat nasional.

“Mengenai ganjaran kepada pihak yang melaporkan kegiatan mencemarkan alam sekitar, kita akan cuba masukkan dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2020 pada awal November ini,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda