Laporan/foto: Masitah Mat Zin (Seremban)/Mohd. Khairulnizam Mohd Yunus (Negeri Sembilan)
SEREMBAN, 23 Okt (Malaysiaaktif) – Data yang dikeluarkan Jabatan Insolvensi dari tahun 2013 hingga 2017, menyaksikan 100,610 orang mengalami kemuflisan dengan jumlah tertinggi adalah dalam kalangan mereka berusia 35-45 tahun iaitu sebanyak 34.4 peratus.
Pegawai Kanan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kewangan (AKPK) Amila Norjihah Musa, berkata gaya hidup yang terlalu mengikut emosi dan terpengaruh dengan budaya konsumer yang melampau antara punca mereka terjebak.
“Amalan masyarakat yang terlalu mementingkan jenama menjadi salah satu punca yang menyumbang kepada perbelanjaan melebihi kemampuan dengan menjerumuskan pengguna kepada kadar keberhutangan yang tinggi melalui penggunaan kad kredit, pinjaman peribadi dan sebagainya.
“Kegagalan menguruskan wang ini seterusnya menyebabkan pengguna menanggung keberhutangan yang serius, disebabkan itulah setiap perbelanjaan yang dikeluarkan haruslah berpaksikan kepada konsep ukur baju di badan sendiri,” katanya yang ditemui sempena Program Taklimat Minda, di sini baru-baru ini.
Menurut Amila, kepentingan mengurus kewangan peribadi dengan betul adalah perlu bagi mengelak sesuatu yang buruk pada masa hadapan.
“Kita harus tahu membezakan antara keperluan dan kehendak, kegagalan membezakan perkara ini boleh menyebabkan kita membeli barangan yang tidak diperlukan dan akhirnya melakukan pembaziran,” katanya lagi.
Program Taklimat Minda Jabatan Penerangan ini telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sembilan Datuk Zulkefly Mohamad Omar.
-SH