
Laporan/foto : Maisarah Mohd Khalid/Musliha Yusof (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 23 Okt (Malaysiaaktif) – Dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0 pelbagai inisiatif dilakukan di Negeri Johor melibatkan pembangunan modal insan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi seiring dengan kemajuan teknologi hari ini dalam melahirkan lebih ramai generasi yang berkemahiran tinggi untuk semua sektor.
Program Sinergi Industri 2019 yang diadakan hari ini di Iskandar Malaysia Studios adalah inisiatif Unit Strategik Modal Insan Johor yang bertujuan sebagai satu wadah pertemuan dan sesi percambahan idea di antara wakil industri, institusi pendidikan awam dan swasta di Negeri Johor.

Sesi dialog memberi pendedahan kepada para peserta agar membuat persediaan yang rapi untuk masuk ke alam pekerjaan.
Pelbagai pengisian menarik diadakan sepanjang program ini berlangsung seperti Showcase Hari Modal Insan Johor, Sesi Perkongsian Maklumat oleh Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Teknologi Malaysia, Sesi Dialog Industri ‘Ketersediaan Modal Insan Johor’ dan ‘Networking Session‘.
Sesi Dialog Industri ‘Ketersediaan Modal Insan Johor’ dan ‘Networking Session‘ antara pengisian menarik yang dikendalikan oleh moderator dari Universiti Teknologi Mara Cawangan Pasir Gudang, Suzainah Rahmat manakala ahli panelnya pula terdiri daripada Pengarah Pusat Kejayaan, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Othman Ibrahim, Pengurus Besar Jabatan Sumber Manusia, OEM Sunrise Berhad, Nor Hisham Hussein dan Ketua Jabatan Elektrik & Elektronik Institut Latihan Perindustrian Pasir Gudang, Ramaiah Veerayah.
Dialog ini membincangkan tentang realiti sebenar yang dihadapi bakal graduan ketika memasuki alam pekerjaan dan memberi pendedahan kepada para peserta yang terdiri daripada para pelajar kolej dan sekolah tentang persediaan yang rapi untuk menuju ke alam pekerjaan.
Seorang peserta dari Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ), Hafsah Abdullah Koya, 22, berkata banyak perkara baru yang dipelajarinya melalui program ini apatah lagi pendedahan yang sangat jelas dalam menghadapi alam pekerjaan.

Kamarol Hizam Besah percaya melalui program ini mampu membantu memperkenalkan pelbagai tawaran pendidikan akademik di Kolej Yayasan Pelajaran Johor.
“Saya mengesyorkan program seperti ini diadakan di setiap kolej bagi memberi pendedahan dan persiapan kepada generasi muda seperti saya sebelum menjejakkan kaki ke alam pekerjaan yang sebenar,” ujarnya.
Manakala Pegawai Pemasaran Kolej Yayasan Pelajaran Johor, Kamarol Hizam Besah, 41, menyatakan program ini adalah kali pertama diadakan di negeri ini.
“Saya berasa sangat gembira kerana KYPJ dijemput untuk membuat pameran di sini kerana program seperti ini mampu membantu memperkenalkan pelbagai tawaran pendidikan akademik dan juga kemahiran di institusi ini,” katanya.
Para pengunjung turut didedahkan dengan Caruman Sukarela dengan Insentif Persaraan (i-Saraan) yang membolehkan ahli yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap untuk membuat caruman sukarela untuk tujuan persaraan dan pada masa yang sama menerima caruman tambahan daripada pihak kerajaan.
Pegawai Khidmat Persaraan dari Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), Nur Safwanah Rahim, 25, menerangkan bahawa caruman boleh dibuat mengikut masa dan kemampuan kewangan pencarum dan pengeluaran juga boleh dibuat disamping menikmati dividen tahunan.
Program Sinergi Industri 2019 mampu menjadi penanda aras bagi melahirkan generasi yang berkemahiran tinggi termasuk membangunkan modal insan yang berkualiti dalam menghadapi pertumbuhan ekonomi serta kemajuan teknologi yang semakin mencabar.
-NI-