Laporan/foto: Ramasamy Amas/Siti Noorezrin Mahmod (Jempol)
JEMPOL, 23 Okt (Malaysiaaktif) – “Golongan yang kurang bernasib baik tidak dipinggirkan dalam menyambut sesuatu perayaan, malah mereka juga turut diraikan sama seperti insan biasa,” ujar Pegawai Daerah Jempol Mas Midyawan Yahya ketika meraikan kanak-kanak Rumah Kebajikan Nanthiswar Home dan Sakti Home di Dewan Terbuka Rumah Rakyat Jambu Lapan, di sini semalam.
Mas Midyawan turut memuji badan korporat dan individu yang sanggup menyumbang bagi membeli pakaian baharu kepada kanak-kanak rumah kebajikan tersebut dalam menyambut perayaan Deepavali tidak lama lagi dan golongan seperti ini perlu dibantu untuk mereka sama-sama berkongsi kegembiraan.
Dalam pada itu Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan Shabli Arshad, berkata peranan Komuniti Harapan Malaysia (KHM) tidak terbatas sebagai agen penyampai maklumat kerajaan semata-mata, malah membantu masyarakat.
“Inilah antara bentuk sumbangan yang dapat direalisasikan seperti yang dilakukan KHM Penarikan Jambu Lapan yang merupakan penganjur program ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi KHM Penarikan Jambu Lapan, Jaganthan Sinna, berkata tujuan program ini diadakan adalah sebagai tanggungjawab sosial terhadap kanak-kanak yang tidak dapat merayakan Deepavali bersama dengan keluarga mereka kerana beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan
“Kami mengadakan program meraikan kakak-kanak rumah kebajikan sejak 14 tahun lalu dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan seperti Jabatan Penerangan dan Jabatan Perpaduan Integerasi Nasional,” jelasnya.
Seramai 75 kanak kanak telah dibawa ke pasar raya bagi membeli pakaian sempena perayaan tersebut dan turut diraikan dengan Jamuan Deepavali serta penyampaian sumbangan kepada 50 orang warga emas, ibu tunggal dan Orang Kelainan Upaya (OKU).
-SH