Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Warisan Budaya Johor “Tak Lapuk Dek Hujan, Tak Lekang Dek Panas”

By 13 Oktober 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Shah Hood (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 12 Okt (Malaysiaaktif) – Bak kata pepatah, “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas” begitulah perumpamaan warisan Melayu Johor yang kaya dengan adat dan warisan budaya tersendiri.

Keunikan ini menjadikan negeri Johor tersohor seantero benua, popular dari seni zapin hinggalah ke seni muzik merangkumi ghazal dan keroncong serta peninggalan sejarah seni dan warisan yang jika tidak diterokai akan lapuk ditelan zaman.

Ucapan perasmian oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Ucapan perasmian oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Bagi memelihara adat budaya warisan Johor kerajaan negeri melalui Yayasan Warisan Johor telah menganjurkan Festival Hujung Medini 2019 (FHM) yang bermula dari 12 hingga 17 Oktober 2019 dengan menghimpunkan penggiat seni warisan di negeri ini.

Majlis Perasmian FHM ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar, wakil rasmi Menteri Besar Johor.

Mohd Khuzzan Abu Bakar dalam ucapan perasmiannya berkata menjadi tanggungjawab dan komitmen utama Kerajaan Negeri Johor melalui kerjasama strategik bersama Yayasan Warisan Johor untuk memelihara warisan budaya yang telah dipasak kukuh.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar melawat Galeri Warisan Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar melawat Galeri Warisan Johor.

“Setiap budaya bangsa itu perlulah diikat dan dipintal oleh urat-urat budaya yang berlandaskan kepada sikap dan sifat bangsa yang diatur oleh adat resam dan agama yang dijunjung.

“Pada hemat saya, sudah tiba masanya untuk Johor menjadi pelopor dalam bidang seni, budaya dan warisan dengan melaksanakan pelan kepada generasi pelapis agar meneruskan legasi jati diri seni bagi melakar sejarah gemilang dengan cara yang kreatif dan kritis,” kata beliau sebelum mengakhiri ucapannya.

Antara objektif lain dalam penganjuran festival ini adalah untuk menjadikan warisan budaya dan seni sebagai sebuah bidang yang eksklusif dan inklusif bersifat sejagat bagi mengimarahkan jalinan bangsa untuk bersatu.

Dalam majlis yang sama Mohd Khuzzan Abu Bakar telah menyampaikan hadiah pada pemenang pertandingan jahitan tulang belut bagi kategori dewasa dan pelajar.

Beliau juga telah menyampaikan sijil penghargaan kepada sepuluh rakan senergi penganjuran FHM terdiri daripada Majlis Kebudayaan Negeri Johor, Tourism Johor, Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Johor, Jabatan Warisan Negara Malaysia, Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara Negeri Johor, Think City, Kolej Yayasan Pelajaran Johor, Johor Chef Associations, Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Kraftangan Malaysia.

Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru Amran A. Rahman, Pengarah Yayasan Warisan Johor Sharil Nizam Abdul Rahim.

-NI-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda