Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

PMM Rangkul Tiga Anugerah Sempena eDOLA

By 13 Oktober 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Rozer Masudin (Merlimau)

PUTRAJAYA, 13 Okt (Malaysiaaktif) – Politeknik Merlimau Melaka (PMM) sekali lagi mengulangi kejayaan tahun lepas dan pada kali ini lebih bermakna apabila berjaya menggondol tiga kemenangan sempena Cidos Inspiring Learning Awards (eDOLA) 2019 yang berlangsung di sini, baru-baru ini.

Menurut Pegawai e-learning PMM, Ariffuddin Ibrahim, eDOLA 2019 merupakan sebuah pertandingan tahunan anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti bagi memberi pengiktirafan kepada pensyarah dan pelajarnya dalam menunjukkan kepakaran pembangunan bahan dan penggunaan teknologi untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

“Alhamdulillah, PMM pada kali ini telah menggondol kemenangan berganda iaitu muncul juara bagi kategori eMicro Content Competition (eMCC) dan bagi kategori Best Reporter (PoliTV) sekali gus menyandang anugerah tempat ketiga keseluruhan eDOLA 2019,” katanya ketika ditemui.

Azrina (kanan berdiri) bersama-sama pemenang serta warga PMM yang terlibat.

Azrina (kanan berdiri) bersama-sama pemenang serta warga PMM yang terlibat.

Sementara itu, menurut Azrina Mohamad Sabiri, penyelia projek eMCC, kemenangan ini hasil daripada usaha keras bersama seorang lagi penyelia iaitu Rizman Ezani Razali dan empat pelajar yang bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan dapat dilakar buat kali kedua.

“Video yang bertajuk “Area of Sector” ini sebenarnya diadaptasi daripada tajuk subjek PBM 2014 Basic Engineering Mathematic yang ada dalam silibus pengajian Jabatan Matematik, Sains & Komputer (JMSK), PMM.

“Apa yang menarik dalam video ini ialah plot penceritaan yang menggunakan kaedah penceritaan seram, bermula dengan pengenalan kawasan sektor dan cara penyelesaian yang mana pelajar akan dapat menghayati bagaimana untuk menggunakan formula dengan tepat, cekap dan betul,” katanya.

Tambah Azrina, pelbagai cabaran yang ditempuhi dalam menjayakan video ini seperti kepayahan menetapkan waktu pengambaran kerana setiap ahli kumpulan mempunyai komitmen dan jadual kelas yang padat.

“Semua ahli kumpulan ada waktunya bekerja sehingga pukul 4.00 pagi bagi mendapatkan suasana yang diinginkan selain dapat memberi fokus kepada jalan cerita yang ditetapkan.

“Video ini telah mula dihasilkan seawal tahun 2019 oleh kerana jalan cerita yang ingin dipaparkan tidak menjurus terus mengenai akademik,” katanya lagi.

Selain itu, pelajar Politeknik Merlimau Siti Nur Ainaa Asmuni, telah memenangi anugerah Best Reporter (PoliTV) buat kali pertama untuk Politeknik Merlimau dengan tajuk Eksplorasi Ainaa ke Bumi Singapura.

Majlis penyampaian disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Mohd Gazali Abas, dan PMM secara keseluruhan telah menerima wang tunai sebanyak RM2100, piala beserta sijil.

-SH

Tinggalkan komen anda